Monday, December 1, 2008

BAB 10

“Ayiem! Jangan curik guli aku! Kasi balik!” Aqilla memekik memanggil Ibrahim. Budak lelaki itu menayangkan muka selamba sambil melambung-lambung beberapa biji guli kepunyaan Aqilla. Aqilla berang lalu terus mengejar Ibrahim.

“Ha!Ha! kejarlah sampai dapat, kalau tak, aku simpan je guli ni, cantik gak, buat koleksi!” jerit Ibrahim lagi sambil berlari-lari anak. Kawasan tanah yang lapang di hadapan rumah Aqilla itu menjadi medan mereka berkejar-kejaran.

Aqilla terus berlari sepantas mungkin. Baginya, koleksi guli yang pernah dihadiahkan Kak Liyana kepadanya sungguh bernilai. Malang tak berbau. Sewaktu langkahnya semakin hampir dengan budak lelaki itu, kakinya tersadung batu. Wajah yang comel itu tersembam ke tanah. Habis kulit mukanya yang mulus dicemari tanah.

Ibrahim yang berlari tadi berhenti. Dia kaget. Segera menghampiri Aqilla yang masih terlangkup di tanah.

“Qilla, sorry,” kata Ibrahim perlahan. Dia bimbang muka budak perempuan itu cedera. Habis aku kena marah dengan mak cik, getus hatinya cemas.

Namun, apa yang memeranjatkannya, Aqilla perlahan-lahan bangun. Tiada setitis air mata yang tumpah. Dengan tericut-incut, dia berjalan menuju ke pintu rumahnya.

“Qilla! Qilla! Tunggu!” Ibrahim melaung dari belakang. Dibuntutinya budak perempuan itu. Aqilla menoleh sekejap kemudian meneruskan langkahannya tanpa berkata sepatah pun.

“Guli kau ni!” Ibrahim mengajukan guli-guli Aqilla yang diambilnya tadi. Hasratnya hanya ingin bergurau sahaja, namun tidak tersangka ini pula yang terjadi.

Aqilla tidak memperdulikan tawaran Ibrahim itu. Dia tidak peduli sesiapa lagi. Ayiem pun sudah berani memepermainkannya. Ayiem sanggup melukakannya. Dia berlari dan terus berlari.

Emak yang sedang menyidai pakaian menoleh apabila didengar derap kaki. Aqilla tidak menghiraukan emak. Dengan muka yang masih comot, dia terus masuk ke dalam rumah. Emak meninggalkan kerja menyidainya lalu terus masuk mendapatkan budak yang berumur 5 tahun itu.

Rautnya bertambah keruh melihatkan keadaan anaknya.

“Ari, kenapa ni? Kenapa muka comot macam ni?”

Aqilla tidak menjawab apa-apa. Sebaliknya dia memeluk tubuh emaknya tanpa sebarang bicara. Emak kehairanan. Emak kebingungan. Apa dah jadi dengan anaknya yang seorang ini?

“Mak cik, Ayiem minta maaf. Ayiem yang ambil guli-guli dia tadi,” tiba-tiba Ibrahim muncul. Emak mengurut-urut dadanya. Mana tidaknya, budak berumur sembilan tahun itu tiba-tiba sahaja tercegat di belakangnya.

“Qilla kejar Ayiem. Lepas tu, dia terjatuh. Tu yang jadi macam ni. Ayiem minta maaf, mak cik. Qilla, hukumlah Ayiem, pukulah Ayiem.”

Emak tidak menunjukkan sebarang reaksi marah. Dia menggeleng-geleengkan kepalanya. Ibrahim sangat petah bercakap. Tak padan dengan umurnya.

Ibrahim mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Beberapa biji guli dihulurkan kepada Aqilla.

“Qilla, amiklah, ni guli kau.”

Aqilla hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiba-tiba dia bersuara.

“Mak, Ari nak Kak Yana. Mana Kak Yana? Ari nak dengar fairy tales dia….” Aqilla mula menyembamkan mukanya ke dada emak. Emak mula faham. Anaknya diam sejak tadi kerana rindukan kakaknya. Tetapi kenapa tiba-tiba? Takde angin, takde beliung, tiba-tiba rindu. Pasti ada sesuatu yang mengganggu anaknya itu.

“Ari, Kak Yana….”

“Ari nak masuk. Ayiem, kau simpankan guli aku tu dulu.” Aqilla segera masuk ke rumah. Emak dan Ibrahim termangu di luar.

Ibrahim meminta izin untuk berjumpa Aqilla. Emak membenarkannya. Baginya, budak itu hanyalah Ayiem, teman rapat anaknya sejak kecil. Mereka membesar bersama. Rumah Ibrahim hanya sepelaung jaraknya dari rumahnya.

Ibrahim membuka pintu bilik Aqilla. Bilik yang bertemakan biru, warna kegemaran Aqilla itu dipenuhi koleksi anak patung dan beberapa buku cerita besar yang dianggap Ibrahim sebagai koleksi fairy tales Aqilla. Budak perempuan itu meniarap di atas katilnya. Kepalanya terlangkup. Perlahan-lahan Ibrahim menghampirinya.

“Qilla, jangan macam ni. Kau marahkan aku ke? Okey, aku mintak maaf,” Ibrahim menghulurkan tangan. Punggungnya sudah dilabuhkan di atas katil Aqilla. Aqilla bangun. Mukanya kelihatan ceria sedikit berbanding tadi.

“Okey, aku maafkan kau,” tangannya menyambut huluran Ibrahim. “Tapi dengan syarat. Lepas ni jangan buat macam tu lagi. Pastu, lepas ni kau kena lawan congkak denagn aku.” Bibir halus Aqilla mengukir senyuman. Memang comel pada pandangan sesiapapun.

“Okey,” jawab Ibrahim ringkas. Dia tahu, Aqilla mahir bermain congkak. Malahan setahunya, dia pernah mengalahkan perempuan itu dua kali sahaja, itupun ketika Aqilla bermain dalam keadaan letih. Budak itu memang mahir bermain, tidak padan dengan tahap umurnya.

“Janji?”

“Janji.”

Jari kelingking mereka bertaut. Aqilla tersenyum manis lagi. Hilang kerinduannya. Hilang Kak Yana dari mindanya. Hilang segalanya. Yang wujud hanyalah keseronokan untuk bermain dengan Ayiem.

“Ayiem! Ayiem!” laungan emak kedengaran.tautan di jari terlerai. Ibrahim bingkas bangun. Di luar, emak berdiri bersama mama Ibrahim. Mamanya mengajaknya pulang lantaran hari sudah lewat.

“Mama, Ayiem nak main congkak dengan Qilla. Ayiem dah janji. Mama, tolonglah…..” Ibrahim merayu kepada mamanya. Tetapi janji hanya tingal janji. Mamanya berkeras membawanya pulang. Mereka berdua melangkah dari rumah sederhana besar itu.

Di tingkap bilik, Aqilla hanya menemani mereka berdua dengan sebuah pandangan kosong.

Ibrahim dan Aqilla sedang bermain congkak. Seperti biasa, pangkin di bawah pohon ketapang di hadapan rumah Aqilla menjadi port mereka bermain. Jika semalam Ayiem pulang kerana paksaaan mamanya, hari ini dia datang lagi untuk menunaikan janji.

Jemari Aqilla lincah menari-nari di permukaan lubang congkak. Dia bermain seperti orang professional lagaknya. Sekali tiba turn dia, Ayiem hanya mampu melopong untuk waktu yang panjang. Dan dalam beberapa minit sahaja, Ayiem sudah banyak lubang terbakar.

Ayiem mengeluh panjang. Huh! Nampak gayanya kalahlah aku hari ni. Ah! Takpelah, aku main sebab dah janji dengan dia.

Aqilla sudah masuk round kedua. Dia masih memonopoli permainan. Lubang-lubang terbakar Ayiem sudah dihafal kedudukannya. Tidak sekali pun dia tersilap. Kali ini dia yakin dia mesti menang. Hatinya berbunga gembira. Bukan dia tidak pernah mengalahkan Ayiem sebelum ini, tetapi permainan kali ini dirasakan sedikit istimewa. Seperti itulah permainan terakkhir mereka.

Tetapi ketika Aqilla lincah bermain, sesuatu cecair mengalir keluar dari hidungnya. Dia meraba-raba cecair itu. Darah!

Jemarinya terhenti. Ibrahim yang duduk sambil kakinya menguis tanah kebosanan turut terhenti. Matanya mengamati cecair yang keluar dari hidung kawannya itu.

“Eh! Qilla! Hidung kau berdarah. Kenapa ni?” soal Ibrahim kerisauan. Dia bimbang Aqilla ditimpa apa-apa tadi. Cukuplah semalam budak perempuan itu terjatuh. Hari ini entah apa pula yang menimpa.

“Ayiem, pergi masuk bilik aku, amikkan tisu.” Arah Aqilla. Dia lebih senang beraku-engkau dengan Ayiem yang tua 4 tahun daripadanya. Sudah banyak kali emak menegur, agar membahasakan Ayiem abang, namun tidak dipedulinya. Lagipun, mereka berkawan rapat, perlu apa dengan pangkat abang seperti itu?

Ibrahim tidak menunggu lama. Dia berlari masuk ke rumah Aqilla. Setibanya di bilik Aqilla, matanya melilau. Tidak pula dia ternampak sebarang kotak tisu di bilik itu. Lantas dia mula menyelongkar almari-almari dan laci-laci yang ada. Puas dia mencari di merata tempat.

Akhirnya dia membuka sebuah laci dalam almari pakaian Aqilla. Sebaik-baik sahaja laci itu ditarik keluar. Kelihatan satu benda yang bersinar di sudut tepi laci kecil itu. Ibrahim meraba-raba benda yang kelihatan seperti punat itu.

Klik! Kedengaran satu bunyi yang halus apabila punat itu ditekan. Satu laci kecil sebesar komik keluar. Ibrahim trekejut. Rupa-rupanya ada laci rahsia di sini. Hilang niatnya untuk mencari tisu tadi. Dia hanya ingin mengetahiu apa disimpan di dalam laci rahsia itu.

Perlahan-lahan tangan Ibrahim menarik keluar laci itu. Disangkanya tentulah ada barang kemas atau sekurang-kurangnya wang. Namun apa yang dilihatnya hanyalah sekeping sampul surat yang sudah lusuh. Sampul itu sudah kekuningan dan berlubang di sana-sini. Ibrahim mengeluh hampa. Dia cuba membuka sampul surat itu tetapi satu suara yang dikenalinya mengejutkannya. Aqilla! Dia mengambil sampul surat lusuh itu lalu memasukkannya ke dalam poket seluarnya.

Ibrahim hanya sempat mengemaskan bilik itu serba sedikit sebelum keluar. Alamak! Mana aku nak carik tisu! Tentu dah lama Qilla tunggu aku! Keluh hatinya.

Dalam keadaan kelam kabut, Ibrahim ternampak sekotak tisu muka di atas peti televisyen di ruang tamu. Ah! Hentam jelah yang ni! Dia terus mencapai kotak tisu itu dan berlari keluar.

Aqilla masih di atas pangkin. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau lambat sangat. Aku dah basuh darah yang meleleh tadi. Kau pergi mana tadi? Buat apa?” bertalu-talu soalan Aqilla.

Ibrahim tidak tahu hendak menjawab apa. Susah-payah dia bekejar. Aqilla sudah terlebih dahulu mencuci darahnya. Kotak tisu itu diletakkan di atas pangkin. Ibrahim duduk berlunjur kepenatan.

“Ayiem,”

“Apa?”

“Kita sambung main lain kali jelah. Aku dah penatlah hari ni.” Kata Aqilla. Dia pun sebenarnya sudah keletihan. Ditambah lagi dengan hidungnya yang berdarah.

Ibrahim mengangguk. Sebelum pulang, dia ‘bersalaman’ dengan Aqilla. Jari kelingking dan jari ibu mereka ditautkan.

“Bye, Ayiem!” Aqilla melambai dari kejauhan.

“Bye!” sayup-sayup suara Ibrahim menyahut.


Beberapa beg besar sudah terlonggok di hadapan rumah Ibrahim. Semalam sudah puas dia bertanyakan mama tentang keputusan wanita itu hendak pergi bercuti. Namun hanya dikatakan mamanya, ada urusan keluarga di kampung. Kemudian selepas itu mereka akan ke Australia. Mereka akan melancong di sana.

Tetapi ada satu perkara yang menghairankan Ibrahim. Jika mereka hanya hendak bercuti, kenapa pulak semua barang-barang dikeluarkan dan dikemaskan? Pulak tu siap ada lori yang memunggahnya. Ni nak melancong ke nak berpindah?

Mama keluar dari rumah tiba-tiba. Di tangannya tergenggam kemas kunci kereta.

“Ayiem, ikut mama. Kita keluar sekejap,” arah mama tegas.

“Ma, tapi Ayiem dah janji nak main guli dengan Qilla petang ni. Lagipun, kita nak ke mana?”

Mama diam seribu bahasa. Lidahnya kelu tiba-tiba. Ah, bagaimaan hendak dijelaskan perkara ini? Lambat-laun anaknya pasti akan bertanya juga. Anaknya pasti membesar. Anaknya pasti mahu tahu apa yang berlaku. Argggh! Fikirannya kusut. Jika bukan papa yang bermain kayu tiga di belakangnya, pasti dia tidak akan membuat keputusan yang menyeksakan ini.

“Mama?”

“Aa, ss..sebenarnya….”

“Ayiem!” Aqilla menjerit sambil berlari menuju ke rumah Ibrahim. Dia termengah-mengah apabila sampai di pintu rumah. Hairan. Ayiem dan mamanya hendak ke mana? Tadi bukankah mereka sudah berjanji untuk bermain guli bersama?

“Err, Qilla, mama ajak aku keluar. Jadi rancangan kita….” Ibrahim serba-salah untuk membatalkan rancangannya dengan Aqilla. Bimbang budak itu sedih kerana janjinya tidak ditunaikan.

“Tapi…kita dah janji…” Aqilla seperti hendak menangis. Entah kenapa kebelakangan ini dia selalu terasa berjauh hati dengan Ayiem. Tapi, dia tak tahu kenapa. Dia terasa Ayiem benar-benar akan meningglkannya seperti Kak Liyana dulu.

Emak tiba-tiba datang. Aqilla terus meluru mendapatkan emak. Ibrahim dan mamanya hanya memerhatikan mereka.

“Ari, kenapa ni? Kak, kak hendak ke mana?” tanya emak. Aqilla sudah mula menangis di bahunya.

Mama menggamit emak datang dekat kepadanya. Seketika kemudian mereka bercakap dalam suara yang perlahan. Tiba-tiba sahaja emak teresak perlahan. Mama memeluknya erat.

“Kak Mah, saya harap kita dapat jumpa lagi. Kalau itulah keputusan Kak Mah yang terbaik, saya redha. Tak mengapa, kakak pergilah, jika itu dapat menyelesaikan masalah. InsyaAllah..”emak bersuara hiba kepada wanita ang tua beberapa tahun daripadanya itu.

“InsyaAllah.. harap-harapnya begitulah Yah. Kita dah lama berjiran. Akak pun berat hati nak tinggglkan tempat ni, tapi apakan daya, nasib tak menyebelahi keadaan akak sekarang.” Mereka berpelukan lagi.

“Akak, budak-budak ni tahu ke tentang keputusan akak ni?”

Mama menggeleng.

“Tidak, mereka masih kecil. Mereka tak perlu tahu hal-hal orang dewasa ni, cukuplah akak dan Yah yang tahu,”

“Tapi kak, Yah Cuma takut Ari sedih. Dulu masa Kak Yana dia pergi, dia menangis hari-hari. Bila dah jumpa dengan Ayiem, dia ceria balik. Sekarang bila Ayiem pun nak pergi, Yah tak tau apa akan jadi kat dia lagi.”

“Takpa, Yah pandai-pandailah pujuk dia. Lagipun, dia masih budak. Yah cakap baik-baik, mesti dia terima.”

Emak mengangguk. Dengan berat hati dia bersetuju.

“Jaga diri baik-baik kat sana kak. Jangan lupa kat orang sini. Hantarlah surat selalu.”

“InsyaAllah.”

Mama segera mengajak Ibrahim pergi. Barang-barang sudah habis dipunggah ke dalam lori.

“Kita nak ke mana, ma?”

“Salam dengan kawan Ayiem tu, sayang. Kita nak pergi jauh ni.”

Ibrahim masih kelihatan bingung, namun begitu dia tetap bersalam dengan Aqilla.

“Ayiem, kau nak gi mana?”

“Aku tak tau. Mama yang bawak aku, kau tanyalah dia,”

Aqilla diam. Dia seperti tidak senang dengan jawapan ringkas itu. Terasa seperti Ayiem akan pergi jauh meninggalkannya. Kali ini perasaan cuak itu semakin kuat.

“Mama, kita nak pindah ke?” spontan Ibrahim bertanya. Mama nyata terkejut dengan pertanyaan itu. Agakan anaknya itu benar. Emak pula hanya diam seperti tadi. Tidak mahu campur hal nak-beranak itu.

Perlahan-lahan mama mengangguk. Nampaknya kenyataan itu memnag sudah tidak dapat dirahsiakan. Dia menutup bangkai gajah dengan nyiru, pastilah ternampak orang.

“Mama, kenapa mama buat macam ni? Mama tau tak, mama sengaja nak jauhkan Qilla dari Ayiem? Mama tak suka Ayiem kawan dengan dia? Kenapa ma, kenapa?” soalan Ibrahim bertalu-talu menujah kepala mama.

“Ayiem, ni takda kena-mengena pun dengan kawan Ayiem tu. Mama sukakan dia. Mama suka dia berkawan dengan Ayiem. Tapi mama buat begini sebab nak selamatkan keluarga kita. Satu hari Ayiem akan faham yang mama buat semua ni untuk kebaikan Ayiem jugak.” Terang mama panjang lebar. Dia cuba memujuk anaknya.

“Tapi kenapa mama tipu Ayiem, mama kata nak pergi melancong. Dan kenapa pula Qilla yang jadi mangsa, sedangkan ini hal keluarga kita?”

Aqilla dan emak diam. Emak mampu menahan kesedihannya tetapi Aqilla tidak. Sekejap sahaja dia mula menangis kembali.

“Kenapa semua orang pergi tinggalkan Qilla? Dulu, Kak Yana pergi, sekarang Ayiem pulak. Qilla dah tak sesapa lagi. Dengan siapa Qilla nak main nanti. Siapa nak lawan Qilla congkak? Siapa nak main guli dengan Qilla lagi? Sapa nak panjat pokok rambutan dengan Qilla? Dah takda sapa lagi…..” dan Aqilla mula mengongoi panjang. Emak cuba menenangkannya. Mama pula sudah berair matanya. Hidungnya juga sudah memerah. Hanya Ibrahim sahaja yang kelihatan agak tenang dalam situasi itu.

“Syyh, Ari masih ada mak. Mak boleh temankan Ari. Mak boleh main dengan Ari.”

“Tapi tak sama dengan Ayiem. Ari Cuma nak main dengan Ayiem..” Aqilla menangis lagi. Bukannya semakin perlahn, bahkan semakin kuat dan berlagu.

Akhirnya, kereta Proton Perdana itu bergerak keluar dari banglo besar kediaman Ibrahim dan keluarganya. Awan mendung seolah-olah turut mengiringi perpisahan itu. Ibrahim asyik melambai-lambai kea rah Aqilla sehingga akhirnya kereta itu hilang dari pandangan.

“Ayuh, Ari, kita pulang.” Emak menarik tangan Aqilla dan memimpinnya pulang.

.

No comments: