Berlegar-legar di shopping complex Mega Mall Ariana hanya sekadar berjalan-jalan menghilangkan bosan. Dia tidak membawa teman-temannya seperti kebiasaan. Hari ini dia cuma membawa Dania. Sudah agak lama dia tidak meluangkan masanya bersama anak kecil itu. Dania sudah meminta-minta untuk membeli barang permainan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa memenuhi keinginan Dania untuk menyedapkan hati Dania. ‘Ah, biarlah, aku pun jarang lekat di rumah, tentu dia pun bosan. Elok juga kalau kubelikan sedikit permainan,’Ariana menurut kata hatinya.
Ariana memimpin tangan Dania berhati-hati ketika masuk ke Toys and Kids. “Nia, mama bagi Nia pilih barang permainan yang Nia mahu. Pergilah,” ujar Ariana lembut sambil melepaskan Dania pergi . seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Dania terus sahaja meluru ke arah rak-rak permainan patung yang digemarinya. Ariana hanya duduk memerhatikan anaknya dari jauh. Dia sendiri tidak kuasa untuk berjalan lama-lama. Duduk di salah sebuah bangku yang tersedia di dalam kedai tersebut melegakan sedikit sengal-sengal kakinya.
Mindanya masih ligat mengingati agenda-agenda syarikatnya. Hampir setiap hari dia perlu mengetuai mesyuarat-mesyuarat penting. Di samping itu perjumpaan dengan client dari luar dan kerjasama dengan badan-badan lain amat meletihkannya. Esok lusa, menurut papanya, dia perlu turun ke tapak projek pula. Hai, memang tak ada masa lah aku nak berehat, keluhnya di dalam hati.
Bahunya ditepuk dari belakang tiba-tiba. Ariana cepat menoleh. Hasnita!
Hampir setahun wajah Hasnita tidak dilihatnya. Dia terlalu rindukan kawannya itu. Spontan, mereka berpelukan seketika.
“Nita! Lamanya kau menghilang! Kau ke mana? Kau nampak kurus sekarang, kau okey ke” Tanya Ariana sebaik-baik sahaja Hasnita melabuhkan punggung di sebuah bangku di sebelahnya. Hasnita nampak sungguh ceria sekarang. Dahulu tubuhnya agak gempal berisi kini telah langsing. Mukanya pun berseri-seri.
“Kau ni, dah lama kita tak jumpa, belanjalah aku makan ke, ni tak , terus aje serang aku!” balas Hasnita berseloroh. “Aku sambung belajar, ambik Master kat Australia. Yang tang badan aku ni pulak, hmmm, macam biasalah, mana aku selera makanan diorang tu, sebab tulah jadi macam ni,”jelas Hasnita lagi dengan nada ceria.
“Anyway, kau apa khabar?” Tanya Hasnita.
“Aku? Okey, Cuma lately, rasa penat-penat sikit. Kau buat apa kat sini? Cari toys untuk siapa?”
“Sepatutnya aku yang tanya soalan tu pada kau. Aku dari Avon tadi. Lalu sini, aku ternampak kau. Teruslah aku singgah kat sini,” kata Hasnita.
“Oh..,” Ariana tidak tahu hendak berkata apa. Jika dikatakan dia hendak membeli permainan anak, panjang lebarlah perlu dia menceritakan kisahnya pada Hasnita.
“Mama!” laungan Dania mematikan perbualan mereka berdua. Di tangannya tergenggam erat sebuah patung Barbie. Ketika Dania menghampiri mereka berdua, Hasnita memandang Ariana semacam. Alamak! Detik hati Ariana.
“Mama, Nia nak yang ni, cantik tak mama?” Tanya Dania pada Ariana yang ketara sudah kematian kata-kata. Dia hanya mengangguk sambil membalas pautan Dania pada tangannya.
“Ari? Kau tak cerita pun pasal budak ni? Siapa ni?” Tanya Hasnita. Intonasinya curiga. Sudah berkeluargakah temannya itu? Jika sudah, mana suaminya?
Aku, err..ni anak aku, Dania,” jelas Ariana terketar-ketar. Dia cuba menyeimbangkan nada suaranya agar tidak kedengaran janggal tetapi gagal. Dania memerhati gadis di sebelah mamanya itu dengan tanda Tanya.
“Dania, ini kawan mama. Auntie Nita. Salam dengan dia, sayang,” ujar Ariana lagi pada Dania. Gadis kecil itu menurut. Disalam dan dicium tangan Hasnita hormat. Sedikit sebanyak tersentuh hati Hasnita. Budak ini sungguh comel dan bersopan, tetapi kenapa dia tiada iras wajah ibunya?
“Anak kau? Baik budaknya Ari. Mana suami kau? Kau tak beritahu aku pun yang kau dah kahwin. Sampai hati kau tak jemput aku,” kata Hasnita seperti merajuk. Ariana bagi nak tergelak mendengar celoteh kawannya itu. Kalaupun dia berkahwin, bagaimana nak dijemput Hasnita yang sedang belajar di Australia itu.
“Panjang ceritanya Nita. Nantilah, kalau ada masa aku cerita kat kau, okey? Sekarang, aku ke kaunter kejap, bayar mainan Dania ni,” Ariana meminta diri segera. Usai membayar harga permainan Dania, mereka bertiga beriringan keluar dari dari Toys and Kids.
Hasnita berjalan pantas. Matanya seperti mencari-cari sesuatu. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Ariana naik hairan dengan perlakuan Hasnita itu.
“Nita? Kau cari apa?” Tanya Ariana apabila rasa ingin tahunya tidak dapat ditahan-tahan.
“Sepupu aku, aku datang dengan dia tadi. Mana pulak dia ni pergi? Tadi kata nak ajak aku pilihkan kemeja untuk dia,” rungut Hasnita sambil terus meliarkan matanya. Ariana terfikir, sepupu Nita? Kalau nak beli kemeja, tentu dia lelaki. Nanti dulu, kalau sepupu lelaki, mungkinkah dia?
“Siapa?” Tanya Ariana berdebar-debar. Ya Allah, jangan-jangan dia lagi! entah kenapa debaran di dadanya bergetar hebat setiap kali terfikirkan lelaki itu.
Belum sempat Hasnita menjawab apa-apa, mereka dikejutkan dengan satu suara garau dari belakang.
“Sorry, Nita, aku pergi toilet sekejap tadi,” kata lelaki itu memohon maaf. Dia juga nampak sedikit terkejut dengan kehadiran Ariana, ditambah lagi dengan si kecil yang manja memaut lengan gadis itu.
“Qilla?” entah kenapa nama itu juga yang terluncur dari bibir lelaki itu. Ariana merasakan jantungnya makin berdebar. Dipaut tangan Dania lebih kemas. Am, kenapa kehadiran kau selalu mengocak jiwaku?
Ariana tekad untuk pergi dari situ. Lebih lama dia bertentangan dengan Adham, lebih hebat jiwanya bergelora. Seboleh-boleh dia cuba mengusir pergi perasaan itu, tetapi cinta memang tak mengenal siapa.
“Nita, aku nak balik dululah, lagipun Dania ni dah mengadu penat berjalan,” spontan Ariana member alasan. Dia perasan raut Hasnita yang berbaur hairan dan kecewa, tetapi dia juga tidak betah menghadap wajah lelaki ini lama-lama.
“Eh, cepatnya kau nak balik? Nantilah dulu, kita makan dulu ke? Aku belanja,” pelawa Hasnita dengan harapan kawannya itu mengubah fikiran. Dia pelik, tadi Ariana begitu beria berbual dengannya, tetapi tingkahnya berubah tiba-tiba dengan kehadiran Adham.
“Tak apalah, Nita.”
“Qilla boleh temankan Am pilih kemeja, nak?” tiba-tiba sahaja Adham mencelah.
“Ha’ah, boleh jugak tu Ari. Please, jangan balik dulu, untuk aku,” rayu Hasnita kali ini bersungguh-sungguh. Akhirnya Ariana beralah untuk menyenangkan hati Hasnita agar rakannya itu tidak berkecil hati.
Hasnita tidak henti-henti mengusik dan mengacah Dania sepanjang mereka berjalan meninggalkan Ariana yang resah dengan Adham yang tenang di sebelahnya. Dia langsung tidak tahu apa yang perlu dibualkan dengan lelaki itu. Jika dengan Hasnita mulutnya becok berborak itu dan ini, lain halnya dengan Adham. Lelaki itu hanya akan mengelukan lidahnya setiap kali mereka bersua. Karisma dan kekacakan yang dimilikinya membuatkan Ariana berasa rendah diri. Dirasakan dirinya langsung tidak layak untuk bergandingan dengan lelaki itu.
“Qilla tolong pilihkan kemeja untuk Am, boleh?” pinta Adham lembut sewaktu mereka memasuki sebuah butik pakaian lelaki. “Si Nita tu memang tak boleh diharap. Tengok tu, makin leka dia main dengan anak Qilla.”
“Eh, takpelah. Am yang nak beli baju, bukannya Qilla,” terasa janggal membahasakan dirinya sebagai Qilla. Tetapi Adham yang selalu memanggilnya begitu nampak selamba sahaja.
“Am nak Qilla yang pilih. Tak boleh ke?” tegas sedikit suara Adham tetapi nadanya tetap rendah. “kalau tak, Am tak bawak Qilla ke sini,” sambungnya lagi.
“Okeylah, tapi jangan salahkan Qilla kalau warnanya tak kena atau apa-apa,” balas Ariana tersenyum nipis. Gaya Adham yang bercakap lembut kepadanya menghilangkan sedikit kekok berbicara dengan Adham.
Bersusun-susun pelbagai kemeja lelaki yang pelbagai corak dan warna di butik itu. Ariana mendapati kebanyakan kemeja di situ bermotif batik. “Am suka pakai corak batik?” Tanya Ariana pada Adham.
“Qilla?” Tanya Adham kembali. Dia sedang sibuk membelek-belek tali leher pula.
Ariana menggeleng-geleng. Adham memang degil. Mahukan dia juga yang membuat pilihan sendiri dalam segalanya.
Sehelai kemeja lengan panjang berwarna biru laut mencuri pandangan Ariana. Warnanya yang lembut itu difikir sesuai dengan Adham.
“Am, Qilla pilih yang ini. Okey?” Tanya Ariana meminta kepastian Adham. Adham berpaling, di tangannya terdapat sehelai tali leher berwarna biru tua bermotif corak geometri.
“Macam dah berjanji pulak kita ni, kan? Qilla pilih biru cair, Am pilih biru laut. Sama-sama biru,” suara Adham kedengaran lembut menembusi pendengaran Ariana. Pandangan matanya lembut menikam mata bundar Ariana. “Kalau hati kita sama macam ni, alangkah bahagianya Am,” ujar Am, nada suaranya berubah romantik sambil meletakkan sebelah tangan ke dadanya. Ariana terpaku. Am, kalau sahaja kau boleh baca hatiku, keluh hatinya sendiri. Dia tahu lelaki itu tidak bergurau kerana wajahnya serius sewaktu mengucapkannya menandakan kesungguhannya.
“Am dah sudah kan? Bayarlah cepat, nanti tertunggu-tunggu pulak si Nita dengan Dania tu,” pantas Ariana mengubah topik. Alasan itu sama sekali tidak kena, kerana Hasnita nampak seperti sanggup berdiri di kedai itu berjam-jam lamanya asalkan dapat bersama dengan Dania. Mereka begitu galak bermain.
“Diorang tu macam faham pulak nak tinggalkan kita berdua, kan Qilla?. Cuma gadis depan Am ni aje yang macam nak melarikan diri” kata Adham. Dia ketawa kecil sebelum meninggalkan Ariana untuk membayar harga kemeja dan tali leher tersebut. Ariana terpempan lagi. sungguhpun nada Adham kedengaran seperti bergurau, hatinya terusik. Dia tahu Adham merujuk kepada tindakannya yang cuba melarikan diri tadi mereka berdua terserempak tadi. Adham seperti memahami apa yang terkandung dalam hatinya. Cuma caranya yang gemar melahirkannya dengan cara bergurau.
Ariana pulang dengan Dania agak lewat petang itu. Sebaik habis mereka membeli-belah, Hasnita membelanjanya minum seperti yang dijanjikan. Adham dan Hasnita pulang bersama. Dia pula memandu sendiri pulang ke rumah. Ariana sempat membeli beberapa pasang blazer beserta skirt labuh sepadan juga berwarna hitam untuk dipakai ke pejabat.
Sepanjang perjalanan pulang, mindanya memainkan semula peristiwa di butik pakaian lelaki tadi. Serta-merta dia terbayangkan Adham. Lelaki itu benar-benar menambat hati dan perasaannya. Entah sejak bila dia berperasaan sebegitu dia sendiri tidak pasti. Spontan dia teringatkan pula kenangan mereka berdua sewaktu masih kecil dahulu. Masa memang merubah segalanya.
Memandang Dania yang sudah tertidur keletihan di sebelahnya, dia terfikirkan sesuatu. Dania selama ini hanya membesar dengannya. Dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang lelaki. Ya, Dania perlukan seorang ayah!
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment