Monday, December 1, 2008

BAB 20

Kelam-kabut Ariana pagi itu. Bukannya dia kesiangan, tetapi masanya banyak dihabiskan dalam memilih pakaian untuk ke pejabat. Pada mulanya dia terfikir untuk mengenakan baju kurung sahaja ke pejabat nanti, tetapi mengenangkan nasihat mama yang menggalakkannya mengenakan kot atau blazer, dia serba salah. Dia tidak pernah mengenakan pakaian sebegitu kerana lebih senang memakai baju tradisional seperti kurung atau kebaya. Atau paling tidak pun blaus berlengan panjang dan skirt labuh.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengenakan baju kurung. Ah, lagipun ini baru hari pertama aku bekerja di Crescent, buat apa nak glamour sangat, desis hatinya. Sepasang baju kurung moden kosong tie silk berwarna hijau pucuk pisang dipadankan bersama tudung bawal sama warna. Setelah merapikan tudungnya, dia mencapai tas tangan lalu segera turun ke bawah.

Papa sudah pun menunggunya di bawah. Papanya memang setiap hari berkot hitam ke pejabat. Nampak lebih kemas dan elegan.

“Hah, Ari! Dah lama papa tunggu. Kenapa, pilih baju ke?” Tanya papa yang sedang menyapu peanut butter ke rotinya. Mama pula sedang menuang jus oren. Ariana cepat-cepat mengambil tempat duduk di sebelah papanya.

“Ha’ah, papa. Confuse nak pakai baju apa. Ari manalah pro pasal attire pejabat papa ni,” kata Ariana.

“Pejabat Ari,” papa membetulkan. “Anyway, pakaian tak jadi isu besar pun. Papa tengok Ari memang manis berbaju kurung macam ni. Kalau nak pakai kot, Nampak lebih agresif dan lincah. Tapi ikut suka hati Arilah. Asalkan pakai baju.” Komen papa selamba.

“Sudahlah Ari, makan cepat. Nanti lambat pulak kamu sampai ke pejabat,” gesa mamanya pula. Sudahnya Ariana hanya sempat menjamah roti sekeping dan segelas jus oren. Itupun papanya sudah mula menghidupkan enjin kereta. Kelam-kabut dia menyudahkan sarapannya.

“Mama, Ari pergi dulu,” Ariana meminta diri sambil mencim tangan mama, kebiasaan yang dilakukannya setiap kali hendak keluar rumah.

“Ari! Cepat!” laung papa kuat dari luar rumah.

“Okay, pa, coming!” balas Ariana.

“Dah, cepat Ari. Jalan baik-baik,” mama menghantar Ariana ke muka pintu sebelum melambai apabila kereta suami dan anaknya mula bergerak keluar.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Crescent Holdings, Ariana rasa sungguh teruja. Ruang lobinya pun sudah jelas menunjukkan bahawa ia bukan satu syarikat yang calang-calang reputasinya. Seperti melangkah ke istana, ruang itu dilimpahi cahaya spotlight memaparkan lagi kemewahannya. Ariana tidak jemu-jemu meliarkan pandangannya ke sekeliling ruang yang besar itu. Di kaunter pertanyaan pula, dua orang staf wanita sedang bertugas. Ariana mula perasan bahawa staf-staf bawahan di sini semuanya memakai pakaian seragam. Bagi lelaki, kot hitam dengan seluar slack sementara bagi wanita blaus putih berlengan panjang beserta skirt hitam labuh yang dikenakan tampak kemas. Pada dinding di belakang kaunter pertanyaan, terukir logo Crescent Holdings yang menjadi kebanggannya iaitu sebuah imej bulan penuh. Betul-betul di atasnya diukir tulisan Crescent Holdings besar-besar.

Leka sebentar Ariana memerhatikan keadaan sekeliling sehingga tidak sedar bila papa menepuk bahunya, menggamit Ariana supaya mengikutnya segera.

“Pa, Ari tengok semua pekerja di sini pakai uniform. Tak apa ke kalau Ari pakai macam ni?” Tanya Ariana janggal.

Papa menggelengkan kepalanya sambil mengukir senyum. “Tak apa, hari ni kan baru first day Ari bekerja. Lagipun, uniform tu hanya untuk staf bawahan. Kalau untuk eksekutif, CEO, manager, semuanya boleh pakai pakaian bebas. Tapi lagi ramai yang pakai kot,” jelas papa seola-olah mahukan Ariana mengenakan kot pula.

Ariana diam sahaja selepas itu. Tidak tahu apa nak dibualkan. Papa membawanya menaiki lif ke tingkat dua untuk memperkenalkannya pada staf-staf lain. Ariana hanya menurut meski ada debaran bertandang di dadanya.

Melewati meja staf-staf lain, Ariana mula terasa kelainan. Kelihatan mereka semua amat ramah dan tekun menjalankan tugas masing-masing.

“Selamat pagi, Tuan Syah,” tegur seorang wanita yang agak berumur. Mungkin dia senior di situ kerana dia seorang yang menegur papa mewakili yang lain. Yang lain semua menghadiahkan semnyuman buat Ariana. Ada yang kelihatan teruja. Ada juga yang berkerut mukanya, mungkin hairan dengan penampilan gadis itu, yang jauh berbeza dengan pekerja-pekerja di situ.

“Selamat pagi, terima kasih semua. Hari ini, saya nak perkenalkan kepada kamu semua CEO baru kamu di sini. Anak saya sendiri, Cik Ariana,” jelas papa ramah. Ariana tidak hairan kenapa semua staf bawahan papa amat menghormatinya kerana sifat peramah dan bertoleransinya.

Staf-staf mula tampil ke hadapan untuk bersalaman dengan Ariana. Ariana menyambut setiap huluran salam dengan senyuman. Sedikit demi sedikit dia mula mengingati wajah dan nama-nama mereka.

Setelah selesai sesi perkenalan, papa menunjukkan pula pejabat Ariana. Bilik pejabat itu berhawa dingin dan lapang. Perabotnya lebih kepada kaca dan kayu. Ariana menggemari ruang pejabat barunya itu. Suasana itu begitu tenang. Yang paling menarik perhatiannya ialah guri pancuran di sudut bilik itu. Bunyi air yang mencurah-curah menggamit kedamaian. Hatinya melonjak riang apabila di atas meja kerjanya terletak sebuah laptop persendirian untuk kegunaan tugasnya.

“Ari, okey tak pejabat ni?” ujar papa mendapatkan kepastian. Dia tidak tahu sama ada ruang pejabat itu benar-benar selesa untuk anaknya atau tidak.

Ariana tersenyum lebar. “Okey sangat pa. Ari suka dengan konsepnya. Siap pemilik asal ruang ni?” tergerak Ariana untuk bertanyakan pemiliknya. Apa sebabnya pemilik itu meninggalkan ruang pejabat yang mewah ini?

“Tak ada sesiapa. Ari tahu, memang sejak ayah Ari mengendalikan Crescent sejak dulu lagi, bilik pejabat untuk Ari ni disediakan. Semua ni rekaan ayah Ari. Dah bertahun-tahun ditinggalkan, memang kotor dan berhabuk, tapi papa dah suruh cleaner bersihkan sebab Ari bakal menghuni pejabat ni,” bibir papa masih tak lekang dari senyuman setiap kali menjawab pertanyaan anaknya. Hatinya senang kerana Ari menyukai ruang pejabat itu.

Terkedu seketika Ariana mendengar jawapan papa. Ayah! Dia terlalu merindui ayahnya setiap kali nama itu meniti di bibir papa. Hatinya sebak.’ Ayah memang memahami citarasaku,’ detik hatinya.

Papa seperti dalam kekalutan selepas itu. Dia memandang jam tangannya kemudian mengucap panjang.

“Allah! Ari, papa dah lewat ni. Ada meeting lima minit lagi. pukul sebelas nanti Ari datang bilik papa, papa nak bagi taklimat sikit,”Papa kelam-kabut memperkemaskan kot dan kolarnya. Ariana ketawa kecil melihat kekalutan papanya. Tetapi dia menyanjungi sifat papa yang menepati masa.

Selepas papa beredar pergi, Ariana duduk di kerusi pusing. Kebosanan, dia sekadar membuka laci mejanya sengaja untuk melihat-lihat. Di laci terakhir, tangannya tersentuh sesuatu yang keras seperti kaca. Dia menariknya keluar. Sebuah gambar. Perasaannya mula berbaur sedih apabila menatap gambar itu. Ayah dan ibu bersama dia dan Kak Liyana bergambar mesra berlatar belakangkan rumah mereka. Runtuh hatinya mengenangkan saat-saat manis mereka bersama. Air mata yang cuba ditahan-ditahan akhirnya mengalir deras.

Gambar yang siap diframe itu diletakkan di atas mejanya. Ini sahaja kenangan bersama keluarganya yang dia ada. Dia tidak tahu bagaimana gambar itu boleh berada di situ. Agaknya, ayah tertinggal waktu memasuki ruang ini dahulu. Apapun, dia bersyukur gambar itu ada di situ. Sekurang-kurangnya dia boleh menatap wajah-wajah ceria itu setiap hari dia menggunakan bilik pejabat ini.

‘Ayah, walaupun ayah dah tiada, adik masih ada Crescent. Adik akan berusaha menjaganya, menguruskannya dengan baik sebagaimana ayah bersusah-payah membina dan memajukan Crescent dahulu. Adik janji,’ azam itu terpasak teguh dalam benak Ariana.
Sudah sebulan lebih Ariana bekerja di Crescent Holdings. Dia sudah mula biasa dengan suasana kerja barunya. Meskipun agak penat, dia gembira dengan tugasnya. Papa merupakan insan yang paling penting dalam membantunya menyesuaikan diri. Dia sering belajar tentang selok-belok perniagaan daripada papanya. Buku-buku tentang hal-hal yang berkaitan turut diturunkan papa kepadanya sebagai rujukan. Hasil kerja kerasnya, dalam masa sebulan lebih dia sudah mahir tentang urusan dalaman syarikatnya. Dalam mindanya pada detik ini tidak terlintas untuknya melakukan perkara lain melainkan belajar dan terus belajar untuk terus memajukan perusahaan warisan arwah ayahnya itu.

Ramai juga staf-staf yang bekerja dengannya berkawan rapat dengannya. Amirah yang sering tertawa sering membuatkannya tidak kering gusi dengan telatah lucunya. Azie yang mudah merajuk pula tidak betah menguji kesabarannya. Devi, Anisa dan Syamimi pula tidak menang tangan membantunya setiap kali dia terperangkap dalam tugasan yang menggunung. Sementara setiausaha yang comel Ziela memang pantas bekerja. Seperti lipas kudung dia menyiapkan setiap report yang diminta Ariana untuk ditaip dan difailkan. Rakan-rakan sepejabat yang mesra selalu menghilangkan kejanggalan dan kebosanannya bekerja saban hari.

“Azie, kau nak makan apa lunch ni?” Tanya Ariana pada Azie yang memegang jawatan sebagai ketua jabatan perkembangan kemanusiaan dan infrastruktur. Azie yang sedang membelek-belek isi sebuah fail hanya mengangkat bahu. Dia masih tekun menghadap failnya. Pejabat mereka bersebelahan. Ariana yang datang menjenguknya untuk mengajaknya keluar makan tengah hari bersama.

“Hello, Cik Azie,” ulang Ariana sambil menggoyangkan tangannya di hadapan Azie. “Semua orang dah keluar lunch. Kau tak nak lunch ke?” Tanya Ariana lagi. Kadang-kadang bosan juga dibuatnya dengan sikap Azie yang sering melekat dengan paperworknya sehingga tidak mengendahkan rakan-rakan sepejabat yang lain.

“Okeylah, aku ikut kau. Tempat biasa,” balas Azie akhirnya. Dia bangun dan menutup kembali failnya. Mereka berdua beriringan keluar dari pejabat.

Dari bangunan Crescent Holdings, mereka hanya perlu perlu melintas jalan dan berjalan kaki lebih kurang lima meter untuk sampai ke tempat makan biasa mereka. Ariana dan Azie lebih senang berjalan kaki lantaran trafik yang sesak setiap kali tiba waktu lunch. Tempat makan biasa mereka biasa sahaja, sederhana besarnya. Selera Mak Ngah bukan sahaja menjadi pilihan mereka berdua tetapi kebanyakan pekerja lain dari Crescent. Faktor lokasinya yang dekat, masakan melayu yang pelbagai pilihan, harga yang berpatutan dan sedap menyebabkannya menerima kunjungan yang tidak putus-putus saban hari dari Crescent Holdings.

Mereka berdua mengambil tempat di satu sudut yang agak lengang. Setelah memesan menu lazim mereka, mereka berbual-bual kosong sementara menunggu makanan siap. Ariana menggemari nasi paprika di situ. Baginya, nasi paprik mak Ngah tiada tandingan di Kuala Lumpur ini. Kerana itulah, hampir setiap hari nasi paprika itu dinikmatinya.

“Eh, Ari, handsome betullah mamat depan kita tu,” ujar Azie sambil menunjuk ke arah seorang lelaki berkemeja merah tua yang makan di hadapannya. “Wah, cuba kau tengok, kalau jadi marka aku kan best,” dia mula memasang angan-angan. Ariana hanya memandang sekali lalu sahaja lelaki di hadapannya itu. Azie, Azie, kalau nampak pemuda handsome sahaja terus dilupakan bakal tunangnya Kamal.

Pelayan datang lalu meletakkan hidangan di hadapan mereka berdua. Azie masi tidak lekang dari memandang lelaki tadi.

“Woi, Azie. Makanlah. Kenyang ke kau ni tenung mamat tu macam tu?” sergah Ariana apabila dilihatnya Azie tidak berkelip mata merenung lelaki itu. Hanya selepas itu Azie menikmati hidangannya, itupun matanya masih menjeling.

Selesai makan, mereka terus sahaja keluar dari restoran itu. Seperti waktu pergi, waktu pulang pun mereka melintas harus melintas jalan yang sesak dengan kenderaan yang bertali arus. Dan dalam kesesakan orang ramai, mata Ariana terkesan seseorang. Lelaki berkemeja merah tua tadi, Adham! Cepat-cepat Ariana melarikan pandangannya, tidak mahu lelaki itu terperasan. Rupanya, bukan dia seorang yang sedar akan kehadiran lelaki tadi.
Sewaktu Ariana menoleh, dilihatnya Azie telah tiada. ‘Aduh, mana pulak minah ni pergi, dahlah dalam orang ramai ni,’gerutu Ariana sedikit geram. Matanya meliar mencari kelibat Azie di celahan orang ramai.

Akhirnya, dijumpai Azie sedang galak berbual dengan seseorang. Dengan siapa lagi kalau bukan lelaki yang asyik ditenungnya bagai nak rak sejak di kedai makan tadi. Ariana mengeluh. Adham lagi. asyik-asyik lelaki itu sahaja yang dijumpainya. Lelaki itu nampak seronok melayan celoteh Azie yang sememangnya banyak mulut. Riang wajah Adham sehingga menimbulkan rasa kurang senang di hati Ariana. Cemburukah aku? Duga hatinya.

Ariana segera mendapatkan Azie yang masih rancak berbual. Dia bertekad untuk tidak memandang Adham walau untuk sekilas pun.

“Kat sini kau rupanya Azie. Penat aku melilau cari kau. Tak sangka, dalam kesibukan orang ramai ni pun, mulut kau masih boleh berfungsi dengan baik, kan?” sindir Ariana geram. Entah kenapa, marahnya tidak boleh dikawal walaupun Azie hanya rakan baiknya yang ingin berbual-bual dengan Adham, lelaki yang selama ini dianggap langsung tidak penting dalam hidupnya.

Azie mula berubah wajah. Ketara benar dia terasa dengan sindiran Ariana. Tetapi sedaya upaya cuba ditahannya kerana Adham sedang berada di hadapannya. Adham memandang Ariana, tetapi gadis itu tetap seperti tadi, mata yang galak itu tidak pernah membalas pandangannya.

“Sorry, Ari,”nada suara Azie benar-benar kedengaran tidak ikhlas. “Aku terleka sekejap berbual dengan..Oh, aku terlupa nak perkenalkan lelaki handsome ni pada kau. Ari, ini Adham. Adham, ini Ariana, my collegue,” sambung Azie lagi. Ketika Adham menghulurkan tangan, Ari hanya memandang sepi huluran itu tanpa menyambutnya.

“Tak pe Azie. Aku dah kenal,”balas Ariana perlahan. Lelaki, dah kenal pun buat tak kenal, nak jaga ego depan perempuan lain!

Tidak mahu Azie bertanya lebih lanjut lagi, Ariana segera menarik kawannya itu meninggalkan Adham. Azie pula tiba-tiba menakup mukanya dengan tangan sebaik sahaja mereka hilang dari pandangan Adham. Bahunya terhenjut-henjut dan bergegar. Ariana mula risau, kenapa dengan Azie ni?

“Azie, kau okey? Kenapa ni? Kau sakit ke?” Tanya Ariana bertalu-talu. Lebih merisaukannya, esakan kecil Azie mula kedengaran.

Ariana cuba menengkan Azie. Tangannya memaut bahu kawannya itu tetapi pantas ditepis.

“Ari, kalau..kalau lelaki tu boyfriend kau pun, kau tetap akan sindir aku macam tu ke?” akhirnya terluah jua perkara yang dipendam Azie. Ariana mula faham. Azie terasa hati dengan sindirannya tadi. Cepat benar kawannya itu merajuk. Hati perempuan memang sensitive, keluh hati kecil Ariana lagi.

“Azie, aku mintak maaf, okey? Aku bukannya marahkan kau, aku cuma risaukan keselamatan kau aje.”

Azie mengangguk. Dia cepat merajuk, tetapi senang dipujuk. Cepat-cepat dikesatnya airmata dengan tangan blausnya.

“Aku pun cuma berbual dengan dia. Kau pun tau perangai aku kan, memanglah aku ni gatal sikit dengan lelaki handsome, tapi berniat untuk curang dengan Kamal langsung tak terlintas di fikiran aku, Ari, sumpah!” nada suara Azie tidak semuram tadi. Dia sudah tersenyum sedikit.

“Aku tau.” Balas Ariana pendek namun bayang Adham masih berlegar-legar di ruang matanya. Entah kenapa kehadiran lelaki itu sudah mula dirasakan penting sejak akhir-akhir ini. Ariana benci dengan perasaan baru itu. Kenapa boleh jadi begini?

.

No comments: