Monday, December 1, 2008

BAB 13

Ariana masih tidak dapat melelapkan matanya sejak tadi. Mindanya asyik berputar mengingatkan ungkapan cinta Adham tadi. Sungguh, dia tidak dapat menerimanya, kerana Adham dianggap sebagai kawan lamanya, tidak lebih dari itu.

“Dan….sebagai orang yang cintakan Ariana…”

Ariana bingung. Kenapa lelaki itu begitu mudah jatuh cinta padanya? Adakah kerana rupanya yang sudah berubah? Atau adakah kerana perangainya juga sudah berubah? Bukan lagi gadis cengeng yang dulu, sebaliknya wanita yang lebih matang dalam menempuh rintangan? Adakah itu yang menarik minat Adham?

Ariana berperang dengan perasaannya sendiri. Kalau aku hanya menganggapnya sebagai kawan, kenapa aku tak berterus-terang sahaja tadi? Kenapa aku tak tolak sahaja cintanya? Ah, susah betul nak menjaga hati orang lain, dalam masa yang sama untuk memuaskan hati sendiri.

Hampir sejam dia dalam keadaan begitu. Berguling ke kanan salah, berguling ke kiri salah. Akhirnya dia bangkit dari pembaringannya. Jam mejanya berdetik ke angka tiga. Ariana sedikit pun tidak mengantuk.

Perlahan-lahan dia mencapai tuala lalu menuju ke bilik mandi. Hampir setengah jam di dalam bilik air menyegarkan badan dengan aroma wangian sabun Palmolive, Ariana keluar.

Dalam kedinginan malam, dia tunduk kepada yang Esa. Dia sujud kepada tuhan yang satu. Dia pohon petunjuk atas setiap kejadian yang berlaku dalam hidupnya. Dan dia memohon ampun atas setiap kesalahan yang terbit sama ada sengaja mahupun tidak sengaja.

“Ya Allah, ampunilah dosaku, Kau permudahkanlah jalan kehidupanku. Kau sembuhkanlah penyakitku, sesungguhnya Engkaulah tuhan yang dapat memberi manfaat dan memberi mudarat. Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa kakakku, dosa kedua ibu bapaku, semoga mereka aman di sana, dan dosa seluruh umat dunia ini. Amin ya rabbal Alamin,” sudah berdoa, Ariana meraup wajahnya. Matanya sudah basah kerana menangis. Dia masih berteleku di sejadah. Ya, esok aku akan mulakan hidup baru. Tiada lagi perasaan risau, gundah dan sedih di dalam hatinya,melainkan azam yang kukuh dalam hatinya. Apa yang dia tahu, Allah tetap ada bersamanya di mana-mana sahaja, bila-bila masa sahaja.

Dan malam itu dia terlena di atas sejadah.

Ariana masih terasa seperti berada di awang-awangan. Dari kejauhan dia ternampak seorang gadis lebih kurang sebaya dengannya melambai ke arahnya. Dia melangkah setapak demi setapak, tetapi merasakan kakinya tidak berpijak ke tanah.

Menghampiri gadis yang lebih kurang tingginya itu, Ariana terkejut besar. Masakan tidak, dia seperti sedang melihat ke dalam cermin. Rupa fizikal gadis itu saling tak tumpah seperti dirinya. Ya Allah, siapa ni? Hati Ariana berdetik cemas.

Gadis itu mula berkata sesuatu yang Ariana tidak dapat menangkap biji butirnya. Suaranya pula seperti orang yang berada dalam dunia sendiri.

“Ariana, sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat hambanya yang benar-benar mahu berubah. Mulakanlah hidup baru, kerana kau sudah bertaubat, dan menyesali perbuatanmu yang lalu.” Terang gadis itu dengan nada yang amat lembut tanpa memperkenalkan dirinya terlebih dahulu.

“Nanti dulu, siapa kau sebenarnya?” soal Ariana ingin kepastian. Siapa gadis yang mirip dirinya itu? Setahunya, dia tidak punya kembar.

“Cinta amat penting dalam hidup manusia. Tanpa Adam, hidup Hawa tidak mungkin lengkap. Tetapi cinta sesama manusia takkan kekal abadi. Hanya cinta kepada-Nya yang berkekalan abadi. Cinta Adham sangat tulus buatmu Ariana, terimalah dia seadanya…” sambung gadis itu panjang lebar. Ariana makin nanar. Macam mana dia tahu nama Adham? Adakah dia turut mengenali lelaki itu? Dan apakah yang dikatakannya itu benar? Jika benar cinta Adham tulus, bagaimana dia mahu membuktikannya? Fikiran Ariana makin semak dengan pelbagai persoalan yang tidak berjawab.

Namun gadis itu pergi begitu sahaja tanpa sempat Ariana mendapatkan penjelasan lanjut.

“Nanti dulu! Aku perlukan kepastian! Siapa kau?!” Ariana melaung. Tiba-tiba dirinya yang berada di awangan tadi seakan sudah jatuh ke tanah.

Dia terasa badannya digoyangkan beberapa kali. Kali ini bukan gadis misteri tadi, tetapi wajah mama yang berada hampir dengannya. Wajah mamanya kelihatan risau. Ariana menepuk dahinya sambil beristighfar panjang. Aku bermimpi rupanya, detik hatinya. Tetapi segalanya-galanya dalam mimpinya tadi terasa seperti benar belaka.

“Ari, Ari okey? Siapa yang Ari laungkan tadi tu? Tadi waktu mama nak kejutkan Kak Yana kau, suara kau kuat meninggi, tu yang mama berkejar ke sini,” ujar mamanya dengan nada hairan. Tadi sewaktu hendak mengejutkan Ariana, dia ternampak anaknya itu tidur dalam keadaan bertelekung, berbaring di atas sejadah.

“Takde apa-apa mama. Ari cuma bermimipi. Ari okey sekarang, mama jangan risaulah,” suara Ariana dilembutkan seboleh mungkin untuk meyakinkan mamanya yang masih kelihatan risau.

“Dahlah Ari, mama nak turun dulu. Ari nak ikut mama sarapan?” pelawa mamanya.

“Okey, boleh jugak, jom turun sekarang,” balas Ariana ceria. Mama senang melihat perlakuan Ariana. Hatinya yang gundah tadi lembut kembali melihatkan sinar pada wajah Ariana dan mendengarkan suara lunak Ariana.

“Eh, Ari dah mandi ke belum? Anak mama ni kalau tak mandi, tak boleh turun sarapan, tau?” kata mama dengan nada yang tegas tetapi masih terselit kelembutan di sebaliknya.

“Mama ni, Ari dah mandilah, awal pagi tadi. Lepas tu Ari tertidur balik,”

Mama ketawa senang. Mereka berdua beiringan berjalan turun ke bawah. Melewati bilik Liyana, Ariana nampak kakaknya masih lena diulit mimpi dengan gebar tebalnya. Mama menggeleng-gelengkan kepalanya. Hai, apalah nak jadi dengan anak dara aku yang seorang ni, rungutnya dalam hati.

.

No comments: