Liyana segera mempersiapkan barangnya. Beg bajunya yang sarat dengan pakaiannya dizip kemas. Bilik sederhana besar hotel itu dipandangnya sekilas. Satu keluhan berat dilepaskan. Sejak akhir-akhir ini hidupnya seperti orang nomad. Kerap benar dia berpindah-randah. Dia takut. Selepas mendapat tahu dirinya mengandung, Joe, teman lelakinya awal-awal sudah mengaku tidak mahu bertanggungjawab. Tetapi kini, setelah dia bersalin dan habis tempoh pantang, hidupnya kembali terancam. Lelaki yang tidak bertanggungjawab itu kembali mencarinya. Lalu hidupnya sekali lagi diburu resah yang berpanjangan.
Apa khabar agaknya anaknya sekarang? Sihatkah dia? Gembirakah dia membesar di sisi Ariana? Tiba-tiba sahaja soalan-aoalan itu menerjah ruang mindanya. Jauh di sudut hati, ada rasa kesal yang bermukim. Jika tidak diikutkan rasa hatinya dahulu, pasti dia sudah bahagia sekarang membesarkan anaknya. Rasa sebak yang tidak tertahan menyebabkan air matanya akhirnya berjuraian keluar. Tetapi dia sedar, semuanya sudah terlambat, dia sudah tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Apa sahaja keputusan yang diambil, dia harus menanggung akibatnya sendiri.
Saat-saat akhir pertemuannya dengan anaknya kembali belayar di ruang matanya, memaksa air jernih itu mengalir lagi.
“Nia sayang, tidurlah nak, ibu kena pergi sekarang juga,” Liyana berbisik lembut kepada anaknya yang nyenyak tidur. Bayi comel yang masih merah itu seakan-akan tidak terkesan langsung dengan apa yang dituturkan ibunya.
“Ibu minta maaf, nak. Ibu memang tak ada pilihan lain, ibu terpaksa ambil keputusan ni. Maafkan ibu, sayang,” ujarnya lagi. Pipi Dania diciumnya berkali-kali. Setelah puas melepaskan rindunya pada anak itu, Liyana segera menulis nota untuk memberitahu pemergiannya pada Ariana.
‘Ariana,
Sewaktu surat ni Ari baca, kakak dah tinggalkan rumah ni.
Dan kakak harap, jangan sekali-kali cari kakak lepas ni. Kakak serahkan Dania kepada Ari. Kakak minta tolong budi baik Ari untuk jaga Nia, kakak percayakan Ari. Kakak memang seorang ibu yang jahat, kakak tak layak untuk jaga Nia, membentuk Nia jadi insan yang baik kelak. Kakak tahu, banyak salah yang kakak dah buat pada Ari, kakak nak mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kakak harap, Ari dapat jaga Nia sebaik-baiknya selagi apa yang Ari termampu. Bekalkannya dengan ilmu agama, pelajaran dan akhlak supaya kelak dia akan membesar sebagai seorang gadis yang baik, jauh sekali berperibadi seperti kakak.
Ari,
Tolong jangan beritahu pemergian kakak ni pada sesiapa, baik Dania mahupun mama. Apabila sampai masa nanti, kakak pasti akan pulang. Kakak perlukan masa untuk memperbaiki diri kakak. Kirim salam peluk cium kakak pada mama dan Dania. Ini, kakak ada tinggalkan loket kakak pada Dania. Mungkin Dania takkan pernah mengenali siapa ibunya, tapi loket ini tetap akan jadi tanda bahawa kakak pernah melahirkan dia, kakak sayangkan dia walaupun kakak takkan pernah berpeluang melihatnya selepas ini. Pakaikan loket ini padanya dan jangan pernah tanggalkan atau gantikannya dengan yang lain.
Liyana.
Memang dia terasa janggal yang amat membahasakan dirinya sebagai kakak pada Ariana, sedangkan sebelum ini dia hanya biasa ber-aku engkau sahaja dengan adiknya. Ah, pedulikan, desis hatinya kemudian ketika dia menyelitkan nota itu di sebelah tempat tidur Dania, ‘asalkan dia tahu niat baik aku,’
Dan ketika selesai segala-galanya, dia berlalu dari kamar itu. Di sebalik malam yang gelap tanpa bintang, dia membawa diri tanpa haluan yang tetap.
Liyana cepat-cepat mengesat air matanya yang tumpah membasahi pipi. Seketika dia melayang dalam imbauan kenangannya yang lepas. Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri supaya tidak sekali-kali mengingati secebis kenangan itu, tetapi apalah daya yang dimilikinya untuk menghalangnya. Kenangan itu belayar dengan sendirinya, menjalankan layar impiannya yang sudah musnah ditelan badai hidup yang ganas tanpa menunggu sesiapa.
Sepuluh minit kemudian, dia sudah berada di kaunter lobi hotel. Setelah menguruskan pembayaran penginapannya, dia keluar dari hotel itu. Dia mula menapak langkah ke arah stesen bas yang berhampiran.
“Hai!” satu suara garau yang cukup dikenali memeranjatkan Liyana. Bulu romanya berdiri menegak sementara tengkuknya sudah mula kedinginan.
Joe!
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment