Monday, December 1, 2008

BAB 1



Ariana duduk menopang dagu menghadap tingkap biliknya. Huh! Satu keluhan berat dilepaskan. Spontan rambutnya yang panjang lurus diikat. Tidak mahu rambut itu mengerbang ditiup bayu barangkali.


“Hei! Perempuan! Kau jangan nak cari pasal dengan aku. Kalau dah menumpang, merempat kat rumah aku tu, controllah perangai tu sikit!” terasa pedih telinga Ariana mendengar sindiran pedas Liyana, kakaknya. Kejadian di sekolah tadi masih menghantui fikirannya.

Hati Ariana dipagut rasa pilu. Mengapa harus begini? Liyana kakak kandungnya. Meskipun Liyana tidak pernah mengakuinya, Ariana tetap sayangkan kakaknya itu. Mereka sebenarnya adik-beradik kandung. Tetapi sewaktu masih kecil, Liyana diserahkan kepada sebuah keluarga mewah yang tidak mempunyai anak. Atas desakan keluarga tersebut, ditambah pula dengan keadaan kewangan yang sempit ketika itu, Liyana diserahkan untuk dijaga oleh keluarga tersebut.

Dan sepanjang tempoh tiga belas tahun, Ariana merindui kakaknya. Ariana kepingin bertemu kakaknya. Dan siapa sangka, akhirnya mereka bertemu jua. Ibu bapa Ariana baru sahaja meningggal dunia. Sejak itulah, Ariana menumpang di rumah besar tempat kakaknya menginap.

Tuk! Tuk!

“Siapa?” Ariana bertanya. Bunyi ketukan pintu mematikan lamunannnya.

Mak Mah, orang gaji Puan Lily dan Encik Syah masuk sambil menatang dulang. Dia meletakkan dulang berisi nasi berlauk ayam masak merah itu ke meja sisi katil.

“Ariana, tak nak makan ke? Ni, Mak Mah bawakan sedikit nasi. Jamahlah sikit.” pelawa Mak Mah lembut.

Ariana memusingkan badannya menghadap Mak Mah.

“Tak apa, Mak Mah letakkkan saja makanan tu dulu. Nanti Ari makan, okey?”

Mak Mah mengangguk lalu terus menuju ke pintu.

“Errr, Mak Mah!” laung Ariana kembali.

“Ya?” Mak Mah menghentikan langkahnya.

“Em, takde apa-apa. Cuma, jangan panggil saya dengan panggilan Ariana. Panggil Ari saja.” ujar Ariana mesra.

“Ohh, itu rupanya! Baiklah Ari, Mak Mah pergi dulu ya?” wanita separuh abad itu terus menyusul keluar dari bilik tidur Ariana.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

“Kakak!” Ariana menangis sayu sambil memeluk erat tubuh lampai kakaknya. Akan tetapi, kakaknya itu menolak kasar batang tubuh Ariana.

“Apa kau buat kat sini? Merayau-rayau macam pengemis. Jangan nak malukan aku! Keluar!!” herdik Liyana kasar.
“Kak, jangan buat Ari macam ni. Ari datang ni cuma nak sampaikan berita sedih.” Jawab Ariana tertahan-tahan.

“Hah! Berita apa pulak ni?” nada suara Liyana masih sekasar tadi.

“Mak dan ayah… mak dan ayah dah tiada lagi. Mereka dah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, kak!”

“Apa kau cakap?” kali ini Liyana tersentak.

“Diaorang dah meninggal dunia, kak!”

“Kau jangan nak tipu aku Ari!” bentak Liyana. Ariana menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ni perkara hidup mati, kak! Buat apa Ari nak bohong?”Ariana teresak perlahan. Tidak menyangka sikap kakaknya berubah dalam sekelip mata.

“Cukup! Aku tak nak dengar lagi. Aku dah ada segalanya di sini. Jangan cuba pisahkan aku dengan apa yang aku miliki sekarang. Kau… bukan adik aku! Aku tak kenal kau!” pekik Liyana sekuat hati membuatkan Ariana terkejut.

“Astaghfirullah-al-azim kak! Ari adik kakak. Kenapa kakak mudah lupa diri macam ni? Mak kita, kandungkan kita bersama kak!” suara Ariana mula meniggi.

“Diam! Tu mak yang kau puja tu, dia tinggalkan aku tiga belas tahun….. tiga belas tahun lamanya! Mak apa macam tu? Cakap Ari, cakap!!!” Liyana seperti dirasuk hantu. Nada suaranya sudah tidak terkawal lagi.

Pangg!!!

Satu tamparan hinggap dipipi gebu Liyana. Pantas Liyana meraba pipinya sambil merenung adiknya dangan rasa marah. Ariana masih di situ menggeletar kemarahan dengan kata-kata kesat kakaknya. Dia sanggup tahan, jika tohmahan itu ditujukan kepadanya, tetapi jika ditujukan kepada ibunya, dia tidak mampu bersabar lagi.

“Kau…… kau memang dah melampau sekarang. Berani kau tampar aku! Pergi dari sini sekarang, pergi! Sebelum aku panggil security. Pergi!!!” arah Liyana separuh memekik.

“Kak, jangan…..” kata -kata Ariana terhenti sebaik terlihat seorang wanita dalam lingkungan 40-an menuju ke arah mereka.

“Yana, kenapa ni! Kenapa ni?” tiba-tiba Puan Lily, mama angkat Liyana datang. Liyana terus menerpa lalu memeluk wanita itu.

“Perempuan ni gila mama. Pergi halau dia!” Liyana memeluk mamanya erat.

“Kamu ni siapa sebenarnya?” soal Puan Lily. Sepasang matanya mengharapkan penjelasan, manakala sepasang mata bundar milik Ariana mengatakan dia tidak bersalah.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Ariana melangkah longlai ke kelasnya. Semangatnya seakan-akan sudah hilang bersama peristiwa tersebut. Dia cuba untuk melupakan kata-kat kakaknya namun ternyata gagal.

Ariana tersentak apabila bahunya ditepuk perlahan. Hasnita, rakan baiknya mengejutkannya.

“Kau ni kenapa?Muka macam ayam berak kapur je.” ujar Hasnita. Dia tahu, Ariana kini sudah banyak berubah. Tidak seperti Ariana yang dulu, sentiasa ceria, lincah dan kuat bergurau.

Kenyataan Hasnita membuatkan Ariana tersenyum sedikit.

“Aku tak apa-apa. Kenapa, muka aku teruk sangat ke?” Ariana ketawa kecil dalam bicaranya.

“Tapi….” Hasnita seperti tidak berpuas hati.

“Takde tapi-tapi, aku ok.” balas Ariana sambil menaikkan ibu jarinya.

Suasana kelas menjadi sunyi apabila Cikgu Salmiah, guru Matematik melangkah masuk ke kelas. Semua murid berdiri dan setelah memberi salam, mereka duduk kembali. Pembelajaran hari itu berjalan seperti biasa.

Anehnya, Ariana langsung tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas yang paling digemarinya itu. Fikirannya menerawang lagi…..



“Kak,kak nak egi ana? Cite snow white ni kak lum abis agi bacakan kat Ari.” pelat tutur Ariana yang baru berusia 4 tahun merayu pada kakaknya.
Liyana yang tua setahun daripada Ariana cuma menggeleng-gelengkan kepalanya. Beg pakaiannya sudah terlonggok di hadapan kereta keluarga angkatnya yang sedang menunggu.

“Kak, angan egi inggalkan Ari, anti sapa nak citekan fairy tales kat Ari? Kak…..”Ariana mengongoi lagi.

“Mak, kak nak egi mana? Nape mak bagi dia egi?kak…kak unggu Ari!” Ariana teresak kecil. Sebentar kemudian esakan itu menjadi satu tangisan yang panjang dan berlagu-lagu. Emak menyeka hiba airmatanya yang mengalir laju di tubir matanya.

Emak mendukung Ariana dan cuba menenangkannya. Dan sewaktu Ariana sudah menghentikan tangisannya, kakaknya sudah hilang dalam deruman kereta mewah Mercedes.

“Kakak!!!”



Sedar-sedar Ariana terasa bahunya bahunya ditepuk beberapa kali. Semua mata tertumpu ke arahnya.

“Ariana? Kenapa dengan awak ni?” soal Cikgu Salmiah keras kerana terasa pengajarannya terganggu.

“Tak….takde apa-apa cikgu. Saya….saya nak pergi tandas sekejap, boleh?” jawab Ariana tergagap-gagap.

Cikgu Salmiah membenarkan. Lantas Ariana menuju ke meja Dewi untuk mengambil pas keluar. Sebaik-baik sahaja berjaya mendapatkannya, Ariana memboloskan diri keluar daripada kelas itu.


* * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Ariana termengah-mengah. Baru selesai mengemop ruang tamu dia sudah berasa seperti hendak tercabut jantung. Baldi dan mop di hadapannya hanya dipandang kosong. Eii geramnya! Bentak hatinya. Ni semua kerja kakak aku. Kalau tak sebab nak bela mak, tak kuasa aku nak buat semua ni!

Ariana sesungguhnya tidak tahu, mengapa kakaknya makin berubah kebelakangan ini. Mana perginya Liyana yang dikenali dulu?Liyana yang baik hati, membacakan fairy tales untuknya setiap kali dia hendak tidur?

Sedar-sedar airmata Ariana mengalir kembali. ‘Kenapa airmata ni murah sangat waktu ni?’ Ariana cuba menyeka airmata yang masih meleleh. Mop tadi dicapainya semula. Namun,sewaktu hendak meneruskan kerjanya semula, kata-kata kasar Liyana menyapa telinganya sekali lagi.

“Kau siapa nak lawan cakap aku! Siapa ajar? Tu, si tua, mak kau tu, yang ajar eh?” pedih kata-kata itu menampar telinganya.

“Kak, arwah mak dah takde. Jangan cakap macam tu, tak baik kak!” Ariana cuba menegur apabila kakaknya dirasakan sudah melampau.

“Oh, kau nak bela mak kau tu lagi? Sayang jugak kau kat dia,eh?”

“Kalau kakak nak marah Ari, nak kutuk Ari, Ari tak kisah,”Ariana menarik nafas yang dalam sebelum meneruskan, “kakak puaskan hati kakak, asalkan jangan ungkitkan apa-apa pasal mak lagi.” pinta Ariana mengharap.

“Kau jangan cuba bermain dengan api, buruk padahnya. Memandangkan kau dah cabar aku, aku akan sahut cabaran kau.” ujar Liyana sinis.

Ariana terkesima. Tidak menyangka kata-katanya tadi dianggap sebagai cabaran oleh kakaknya.

“Just wait and see.” sambung Liyana sebelum berlalu pergi.

“Ari buat apa ni?” tegur Mak Mah mengejutkan Ariana. Spontan Ariana mengurut-urut dadanya. Peluh di dahi disekanya.

“Err, Mak Mah, Ari cu….cuma..nak tolong mop lantai ni sikit..” tergagap-gagap Ariana menjawab.

“Tak payahlah Ari,ni kan memang kerja Mak Mah. Ari pergi naik atas dulu ya?”

Ariana menggeleng kepala. Tidak mungkin dia akan beritahu Mak Mah tentang ugutan Liyana. Baginya, biarlah hal itu menjadi rahsia antara dia dan Liyana sahaja.

“Kalau itu yang Ari nak, Mak Mah tak boleh nak halang. Tapi, kalau Puan Lily tanya, nanti Mak Mah pulak yang dipersalahkan.” Mak Mah berkata perlahan. Ariana dapat mengesan raut kurang senang pada wajah tua itu.

“Tak apa, kalau Puan tanya, Ari tau apa nak jawab. Mak Mah tak payah risau, okey?” Ariana cuba memujuk Mak Mah lagi. Dia tidak mahu berputus asa sebelum berjuang.

Mak Mah segera berlalu ke hadapan untuk meneruskan kerja-kerjanya yang tertanguh sejak tadi. Ariana mencapai mop lalu mencuci lantai ruang dapur pula. Tiba-tiba Liyana datang menghampirinya. Tanpa berkata apa-apa telinga kanan Ariana dipiatnya. Ariana terjerit kesakitan. Liyana lantas menekup mulut Ariana.

“Kak, sakit!” jerit Ariana.

“Diam! Ingat, ikut cakap aku, kalau kau nak selamat jangan bocorkan hal ni pada sesiapa pun. Dulu kau juga yang cabar aku!” Liyana menghabiskan katanya sebelum berlalu ke atas.

Ariana terduduk lemah sambil menangis di lantai. Dia teringatkan ibunya tiba-tiba. ‘Mak, kalau mak masih ada Ari takkan lalui semua ni. Kakak dah banyak berubah, mak!’ seru Ariana di dalam hatinya.

.

No comments: