Tuesday, December 2, 2008

BAB 23

Liyana meraba dahinya. Masih berbalut kemas. Dia tidak tahu apa reaksinya nanti apabila balutan itu dibuka doktor tidak lama lagi. Lukanya sudah sembuh walaupun terkdang dirasakan dahinya sedikit berdenyut. Kata doktor, itu kesan sampingan biasa akibat pembedahan kecil tempoh hari. Dia cuma perlu berehat secukupnya.
Ariana! Dia teringat adiknya itu tiba-tiba. Entah apa khabar adiknya itu sekarang? Dan bagaimana pula dengan Dania? Liyana terasa betapa dayus dirinya sebagai seorang ibu. Dania itu memang anak kandungnya tapi hingga detik ini dia belum punya kekuatan untuk bersua muka dengan anaknya itu.

‘Mungkin aku boleh tanyakan Ariana hal Dania’putusnya dalam hati.

Serentak itu Liyana mencapai handphonenya di meja sisi. Didailnya nombor telefon Ariana. Harap-harap dia angkat,pohonnya dalam hati.

‘Tuut…Tuuut…’
Hampa. Hanya itu yang menerobos pendengarannya. Dia cuba mendail beberapa kali lagi selepas itu tetapi hanya berjaya menembusi voice mail sahaja. Kecewa, dia terus mematikan panggilan. Hatinya sudah mula dipanjat sebak. Mungkin memang benar Ariana maish marahkannya. Memang wajarnya pun dia didendami adiknya sebegitu. Kesalahannya pada Ariana tidak terhitung. Dia masih berdoa agar Ariana berlembut hati, hanya kerana Dania. Ya Dania. Anak itu tidak berdosa, masih tidak mengetahui apa-apa.
Dan untuk kesekian kalinya, dia mengeluh lagi.

Briefcase hitam berkilat itu dijinjitnya kemas. Ariana mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluarnya. Telefon bimbit itu sejak sejam yang lalu dimatikan kerana berada dalam bilik mesyuarat. Satu jam itu dia pula yang mempengerusikan mesyuarat itu kerana ketiadaan ayahnya. Ayahnya sudah bertolak ke Kedah semalam untuk berjumpa dengan seorang klien syarikat mereka di sana. Alih-alih Ariana diamanahkan untuk mengambil alih tugas ayahnya buat sementara waktu. Tapi syukur sahaja, dia dapat mengendalikan mesyuarat tadi dengan baik. Portfolio yang disiapkan ayahnya, tinggal dibentangkan dan diterangkan serba-sedikit. Selepas itu sesi perbincangan dan soal-jawab.

‘5 missed calls’

Terbeliak mata Ariana merenung paparan skrin handphonenya. Segera dia memeriksa nombor yang tertera. Hatinya tiba-tiba menjerit riang. Kak Yana!

Ariana menghampiri keretanya sambil mendail semula nombor kakaknya. Hatinya sudah berlagu senang. Dia ingin bertanyakan khabar kakaknya. Dia ingin menceritakan pengalaman barunya bekerja di pejabat ayah. Dia ingin menyampaikan berita Dania yang kini sudah petah bercakap dan manja. Dia ingin berkisah segalanya dengan kakak!

“Assalamualaikum…Kak Yana! Ari ni!” Riang nada Ariana.

“Ari,”suara Kak Yana kedengaran lain pada pendengaran Ariana. Macam lemah sahaja suaranya. Kak Yana sakit ke? “Waalaikumsalam..”sambung Kak Yana kemudiannya.

“Kak..Kak sihat ke? Ari dengar suara kakak macam….”Ariana terdiam sebentar, tidak tahu apakah benar perkara yang bermain di fikirannya sebentar tadi.

Pintu kereta yang berkunci dibuka. Ariana baru hendak melabuhkan punggungnya ke kerusi pemandu itu apabila matanya menangkap sekeping kertas di atasnya.

“Ari? Ari?”

Suara Kak Yana di telefon bimbitnya sudah tidak kedengaran. Terlepas telefon bimbitnya ke tanah. Ariana terkaku. Tangannya sudah mula menggigil. Dia beristighfar perlahan. Ditambah mengucap berkali-kali sambil melurut dadanya.

Perlahan-lahan Ariana mencapai kertas yang tidak diketahui siapa penulisnya dan bagaimana ia boleh dimasukkan ke keretanya yang berkunci itu. Dia membaca mesej di atas kertas itu lagi. Lagi sekali. Untuk kali yang ketiga barulah dia rasakan matanya tidak menipu.

Dan akhirnya dia terduduk di birai jalan itu!

No comments: