Monday, December 1, 2008

BAB 18

“Assalamualaikum, mama! Ari dah balik. Dania mana?” Tanya Ariana sebaik-baik sahaja tiba di rumahnya. Tidak dinampaknya kelibat mama mahupun Dania di rumah besar itu. Puas dijenguknya di dapur, di ruang makan, ruang tamu, tetapi hampa, mereka tiada.
Segelas air kosong diteguknya bagi menghilangkan dahaga.

“Hah! Ari, dah balik pun kau. Puas mama cari kau,” sergah Puan Lily tiba-tiba. Hampir Ariana tersedak. Segera di mengurut-urut dadanya.

“Mama ni, buat terkejut Ari aje. Mama cari Ari?” Tanya Ariana kembali. Dia hairan melihatkan mama kemas berpakaian baju kurung dan kunci kereta yang tergenggam di tangannya.

“Ha’ah. Mama cari kau sampai ke pejabat tadi. Papa yang suruh mama susul kau ke sana. Tapi kau dah keluar, mama pun langsunglah balik ke sini,” jelas mama.

Baru Ariana teringat. Kereta mamanya juga Mercedes hitam. Mungkin Puan Yanti tersalah anggap sewaktu di pejabat tadi.

“Mama cari Ari sampai ke pejabat? Apa halnya, ma? Sampai tak boleh tunggu Ari balik rumah dulu?”

“Penting, Ari. Hal penting. Mari kita ke bilik bacaan papa. Papa kamu pun dah tunggu,” ujar mama pantas. Ariana bingung. Apa agaknya hal penting yang mahu dibicarakan oleh mama dan papanya?

Melewati bilik tidur Dania, Ariana dapat melihat anaknya itu sedang tidur nyenyak. Pada fikirannya tentu mama yang menidurkan Dania agar tidak mengganggu perbincangan mereka anak beranak nanti.

Ariana mengetuk bilik bacaan papanya perlahan-lahan. Mama menyusul di belakang. Sekali ketuk, tiada jawapan. Dua kali pun begitu. Masuk kali ketiga barulah Ariana dapat mendengar suara papanya memberi arahan supaya masuk.

“Ehem, assalamualaikum, papa,” ujar Ariana sebaik-baik sahaja masuk ke bilik bacaan papanya. Baru ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke bilik persendirian papanya yang agak mewah ini sejak dia mula berpindah ke sini. Perabot dalamannya indah dengan kemasan kayu oak. Tidak hairan jika papa yang bekerja sebagai pengarah eksekutif syarikatnya sendiri mampu menghiasi biliknya dengan perabot yang elegan dan mahal seperti itu.

Encik Syah mendongakkan kepalanya. Jelas dia sedang menumpukan perhatiannya terhadap pembacaannya.

“Oh, Ari. Waalaikumsalam, duduklah. Jangan segan-segan. Lagipun, pejabat ni tak lama lagi akan jadi milik kamu, begitu Lily?” pelawa papa ramah. Mama hanya tersenyum menyambut pertanyaan suaminya.

Ariana mula mengambil tempat di sebuah sofa yang terletak berhampiran meja papanya. “Apa maksud papa?” soalnya kurang faham.

“Ari, inilah yang papa dan mama nak jelaskan pada kamu. Mungkin selama ni kamu tak pernah tahu tentang perkara ni. Dan papa sama mama kamu ambil keputusan untuk memberitahu kamu hal ini memandangkan kamu dah cukup umur, dah tiba masanya,” jelas papa, namun Ariana masih belum dapat menangkap apa sebenarnya yang hendak diberitahu papanya.

“Beginilah, sebenarnya sebelum mak dan ayah kandung kamu meninggal, mereka ada merangka sebuah wasiat untuk kamu. Tetapi sebelum sempat mereka menyampaikannya mereka telah pergi terlebih dahulu. Jadi mereka menyerahkan wasiat ini pada papa dan mama untuk menyampaikannya pada kamu apabila umur kamu sudah mencecah dua puluh satu tahun,” terang papa perlahan-lahan.

“Betul tu Ari, tapi wasiat ni Cuma untuk Ari sahaja. Mungkin kamu terfikir, mana bahagian Kak Yana? Ada penjelasan di sebalik semua ni,” sampuk mamanya pula. Ariana semakin pening. Sandiwara apa pula mereka lakonkan kali ini?
“Kalau macam tu, apa...apa wasiat mereka?” Tanya Ariana teragak-agak. Setahunya sepanjang dia hidup dengan ibu dan ayah kandungnya,mereka tidak pernah hidup dalam kemewahan, semuanya cara sederhana. Berbeza benar dengan cara hidup keluarga kaya ini.

Papa mengeluarkan sehelai sampul surat yang sudah lusuh dari dalam laci mejanya. Dengan berhati-hati dia menyerahkan sampul surat yang sudah kekuningan itu kepada Ariana. Dan dengan tangan yang sedikit teketar-ketar Ariana menyambutnya.

“Bukalah sampul tu. Segala jawapan ada dalam tu,” pinta papa. Mama sedari tadi hanya memerhati.

Ariana mula membaca wasiat isi kandungan wasiat itu dengan kuat agar dapat didengari mama dan papanya.

‘Buat Ariana anak mak dan ayah yang tersayang,

Wasiat ini ditujukan khas buat adik seorang. Ayah harap adik dapat menggunakan peninggalan kami ini sebaik-baiknya.
Mungkin Ariana tak pernah tahu, ayah pernah ada bina syarikat saham ayah sendiri, Crescent Holdings.. Dan syarikat itu diturunkan pada Syah. Tak terlambat lagi untuk ayah beritahu Syah tu sebenarnya kawan baik ayah, yang mana ayah serahkan Crescent pada dia untuk diuruskan sebelum ayah meninggal. Dan ketika adik baca wasiat ni waktu adik dah cukup umur, ayah dah pesan pada Syah untuk serahkan syarikat ni pada adik. Syah dan Lily, kawan baik ayah yang ambil kakak adik sebagai anak angkat mereka pasti tak keberatan menunaikan wasiat ayah ini. Semua ini pasti masih baru pada adik, tapi adik boleh belajar sedikit demi sedikit dari Syah.
Adik,
Ayah dan ibu juga ada sejumlah wang simpanan kami berdua. Bersama-sama surat wasiat ini juga kami ada sertakan nombor akaun kami, untuk kemudahan adik apabila adik memerlukan wang nanti. Semua wang simpanan kami itu kami wasiatkan pada adik. Gunakannya apabila adik ditimpa kesempitan wang.
Buat Liyana ayah tak wasiatkan apa-apa kerana dia dah pun puas merasai kemewahan tika dia hidup dengan keluarga angkatnya.
Dan akhir sekali buat Syah dan Lily, empat puluh peratus dari pendapatan tahunan Cescent akan diserahkan pada kalian berdua sebagai tanda penghargaan kerana membantu meneruskan perjuangan Crescent Holdings. Syah akan tetap dikekalkan posisi ketua eksekutif dan pemegang saham utama dalam Crescent.
Jaga diri adik baik-baik.

Yang menyayangimu,
Azman dan Irna

Selesai Ariana membacakan isi wasiat itu, suasana hening seketika. Suasana sepi menyelubungi bilik berhawa dingin itu. Ariana bagaikan tidak percaya akan semua isi wasiat tersebut. Segala harta arwah ayah dan ibunya itu melampuh banyaknya. Apa yang sangat menghairankannya bagaimana mereka dapat mengumpul harta sebegitu banyak? Dari mana?

Di sudut bawah wasiat itu tertera tandatangan peguam yang menjadi saksi waisat itu ditulis. Dan sebagaimana kata ayahnya, dilampirkan besama wasiat itu ialah nombor akaun khasnya yang dibuka oleh kedua arwah orang tuanya.

“Papa tak sangka, ayah kamu memang seorang yang bekerja keras. Sampai waktu dia hampir meninggal pun, syarikatnya masih utuh. Kamu patut berbangga memiliki ayah sepertinya, Ari,” tiba-tiba sahaja suara papa memecah keheningan.

“Err, tapi papa, harta peninggalan ni terlalu banyak. Ari tak tahu nak buat apa. Lagipun duit gaji Ari selama ni pun dah cukup untuk menampung hidup Ari. Ari rasa..Ari taknak gunakan lagi duit peninggalan tu,” jelas Ariana. Dia mengharapkan pandangan papa untuk memanfaatkan wang itu.

“Entahlah, duit tu pun duit Ari, terpulang pada Ari nak buat apa. Apa yang penting, secara tak rasmi Ari sekarang dah jadi bos papa!” ujar papa ceria. Ariana makin buntu. Dia belum bersedia untuk menguruskan syarikat Crescent. Padanya biarlah papanya yang berpengalaman menguruskannya.

“Tak apalah, nak. Belajarlah sedikit demi sedikit. Lama-lama padailah. Papa kamu ni, dulu pun tak pandai juga dalam dunia bisnes ni. Tapi asalkan ada kesugguhan dan minat, semuanya pasti lancar,” tokok mama pula yang diam seribu bahasa sejak tadi.

“Betul tu Ari, pasal duit tu, papa cadangkan Ari boleh guna untuk sambung belajar ke peringkat yang lagi tinggi. Itu Cuma cadangan papa, Ari fikirkanlah sendiri,” cadang papa kemudiannya. Terfikir juga Ariana akan cadangan papa itu. Sekurang-kurangnya dia tak akan menyusahkan papanya untuk membiayai pengajiannya nanti.

Sepanjang malam itu, mata Ariana tidak mahu lelap. Otaknya ligat memikirkan masa hadapannya. Baginya, semua ini seperti mimpi. Langsung dia tak terfikir untuk memperolehi semua harta peninggalan ini, apatah lagi dalam sekelip mata! Akan tetapi, di sebalik semua ini, hatinya terasa amat senang. Menurut papa, jika dia bersedia, seawal bulan depan dia boleh mula bekerja di Crescent Holdings. Dia memang berminat, tetapi bercadang untuk bermula dari bawah. Alasannya biarlah dia menimba pengalaman dahulu sebelum mengambil alih sepenuhnya syarikat itu.

Tit! Tit! Tiba-tiba handsetnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Dengan malas dia memetik lampu meja di sebelah lalu mengangkat handphonenya. Daripada Adham. Entah kenapa dia terasa senang dengan kehadiran mesej itu. Tidak melenting seperti selalu.

‘Hi, Qilla. Dh tidur?’

Ariana tersenyum sendiri. Adham memang pandai mengambil hatinya. Sesungguhnya dia suka Adham menggunakan panggilan itu. Perlahan-lahan dia merangka untuk membalas mesej itu.

‘Blm sbb trlampau happy.’

‘happy? Apa yg happy sgt tu?’

Tersenyum lebar lagi gadis itu tatkala Adham membalas mesejnya. Dengan pantas jemarinya bergerak di kekunci handphone menaip jawapan.

-Durian runtuh

-oh, dpt untung la ni? X nak share apa dia?

-Tak, biarlah rahsia

-Ok, nyway, goodnight, my girl . Asslamualaikum

-Goodnight, waalaikumsalam


Tersentuh sedikit hatinya apabila Adham menggunakan panggilan ‘my girl’ pula. Pandai-pandai je lelaki ni! Dia ingat aku ni Lee Da Hae dalam cerita My Girl tu ke apa? Tapi kalau aku Lee Da Hae, mestilah dia Lee Dong Wook yang handsome gila tu! Eisysh, mesti best kalau aku dan dia dapat jadi macam diorang tu, monolog Ariana sendirian sebelum dia menyedarkan dirinya kembali. ‘Sudahlah, jangan nak berangan, Ariana. Kau Cuma terpengaruh dengan cerita Korea, tu aje. Dia tidak tahu bila saat matanya terlelap.

.

No comments: