Monday, December 1, 2008

BAB 16

Ariana mengagah-agah anak kecil di hadapannya. Sejak pulang dari pejabatnya lewat petang tadi, dia masih belum mandi dan menunaikan solat Asarnya. Anak kecil itu yang ditujunya dahulu. Leka dia memerhatikan kerenah si comel yang baru hendak mengenali dunia barunya.

Dania Insyirah. Si kecil yang mewarisi darah kecantikan ibunya, Liyana. Mengenangkan Liyana, hati Ariana sebal. Dia teramat kesal dengan sikap kakaknya yang lepas tangan terhadap anak sendiri. Sebaik sahaja tamat tempoh berpantang, Liyana lesap entah ke mana meninggalkan Dania terkapai-kapai dahagakan belaian ibunya.

“Uwekk!” Tangisan Dania mematikan lamunan singkatnya.

“Nia? Kenapa ni? Nia nak susu?” soal Ariana bertalu-talu. Dania terus menangis membuatkan Ariana bingung. Dia segera bangkit menuju ke dapur untuk mengambil botol susu Dania. Sebaik-baik sahaja dia kembali mendapatkan Dania balik, dilihatnya Dania sudah terlentok semula di ribaan mamanya. Dia terasa lega.

“Ari, naiklah atas, mandi dan solat Asar. Mama dah tidurkan Nia,” ujar mama.

“Huh! Lega Ari. Bolehlah Ari naik atas, mandi. Badan pun dah naik melekit ni,” balas Ariana.

“Hah, taupun. Dah, cepat, nanti waktu Asar habis. Ni pun dah pukul enam lebih dah.”

Ariana mengangguk laju. Segera dia mencapai beg tangannya lalu menuju ke atas.

Sebuah keluhan berat dilepaskan. Tangannya didepangkan sebentar bagi merehatkan diri. Ariana mengeluh. Sejak pagi tadi, tugasannya yang bertimbun-timbun di atas meja masih belum siap ditaip dan disemak. Ditambah pula dengan penat yang masih belum hilang akibat tidur lewat malam tadi akibat melayan kerenah Dania yang tidak habids-habis meragam.

Rrringg!

Telefon yang berdering di atas meja diangkatnya dengan rasa malas. ‘Aduh, dahlah kerja aku banyak, ada pulak yang mengacau. Isy, kacau daun betul!’ gerutu Ariana di dalam hati.

“Assalamualaikum,” suara di corong telefon yang berbunyi membuatkan Ariana mengeluh lagi. Kenal benar dengan pemanggilnya. Apa lagi yang dia nak ni?

“Waalaikumsalam,” jawabnya sepatah. Tangannya masih menari-nari di atas papan kekunci.

“Hai, marah je bunyinya. Kalau tak suka Am call, cakap je,”

“Am, Am nak apa lagi ni? Am nak cakap apa, cakap cepat. Ari sibuk ni.”
Am terkilan sedikit. Nada suara gadis itu tegang. Apakah gadis itu memarahinya? Ah, aku mesti hadapinya juga.

“Am sebenarnya nak bincang sesuatu dengan Ari. Urgent. Tapi Am tak boleh cakap sekarang. So...”

“Dinner?” Tanya Ariana sepatah. Faham benar dengan tingkah lelaki itu.

“Yes, tu pun kalau Ari sudi. Kalau busy, takpe, lain kali jelah.”

Ariana mencapai plannernya. Membelek-belek isinya kemudian terdiam sebentar.

“Takpe, malam ni Ari free. Tapi, apa halnya yang penting sangat tu?” soal Ariana kemudiannya. Kalau diikutkan hati, malas dia mahu memenuhi jemputan Am tersebut, lebih baik dia duduk di rumah sahaja, bermanja dengan Dania. Tetapi mengenangkan perkara penting tersebut, dia bersetuju.

“Kalau Ari nak tahu, datanglah malam ni, Restoran Saloma, 8.30 malam,” ujar Am dengan hati yang berbunga.

“Am, kalau Ari nak ajak Nita boleh?” terlintas idea itu di minda Ariana. Lagipun, apa salahnya? Kalau ada Nita, taklah dia kekok benar.

“Am, boleh tak?” tanyanya lagi apabila talian Am senyap.

“Am?!” hantu punya lelaki! Ariana mendengus marah apabila dia menyedari lelaki itu sudah memutuskan talian.

Tak guna! Ariana masih mundar-mandir dalam biliknya. Jam menunjukkan angka 7. Dia masih mencari jalan bagaimana hendak mengelakkan diri dari berjumpa dengan Am. Entah kenapa, dia terasa kekok benar. Sudah tiga bulan lebih lelaki itu tidak menghubunginya langsung. Dia hairan dan pelik. Tetapi apabila Am menelefonnya tadi, dia sedikit marah. Mungkin tak kena pada masa, fikirnya.

Almari bajunya sudah habis diselongkar. Tetapi langsung tidak berkenan dengan mana-mana bajupun. Tiba-tiba, satu benda berkilat terjatuh dari laci barang perhiasannya. Ariana mencapainya. Melihatkannya, Ariana tiba-tiba riang. Satu idea muncul di dalam mindanya.

Lantas, didail nombor telefon Hasnita. Sambil menunggu rakannya itu mengangkat telefon, dia berdoa dalam hati semoga rancangannya berjaya.

“Itulah, nak tipu orang, memang tuhan akan balas.”

Berdesing telinga Ariana mendengar ucapan Am itu. Dalam hati dia menyesal tak sudah. Lain yang diharap, lain pula yang jadi.

“Apa?!!” suara Hasnita kuat memekakkan telinga Ariana.

“Kau nak aku menyamar jadi diri kau?!” soal Hasnita tidak percaya. Matanya dibuntangkan kea rah Ariana. Kemudian dia mencerlung pula kearah sepasang baju kurung dan tudung yang dipinjamkan Ariana. Mengarut, rancangan Ariana memang mengarut, desis hatinya.

“Pleasee, Nita. Aku tak nak keluar dengan dia, kau je yang boleh tolong aku,” rayu Ariana bersungguh-sungguh. Dia tahu, rancangannya memang gila, tetapi dalam keadaan terdesak,hanya itu yang mampu difikirkannya.

Hasnita menggeleng-gelengkan kepala. Pelik benar dengan perangai temannya. Kenapa nak takut berjumpa dengan Am?

“Kalau kau tak nak keluar dengan dia, call je lah. Batalkan date korang. Settle,” jawab Hasnita selamba.

“Nita, please! Aku tak sampai hati nak batalkan macam tu aje,” rayu Ariana lagi. Hasnita berkulit sedikit gelap, tetapi Ariana yakin jika disolek sedikit, pasti perubahan itu takkan dikesan oleh Am.

Melihatkan kesungguhan Ariana, Hasnita menggangguk akhirnya.

“Okeylah, tapi kalau terkantoi, aku tak nak tanggung,” jawab Hasnita.

Ariana melonjak riang.

“Terima kasih Nita. Kaulah sahabat aku yang paling sejati,”puji Ariana.

“Dahlah, tak payah nak terlompat-lompat kat sini. Buruk benor ghupanya,” Hasnita mencebik. Dada Ariana lapang selapang-lapangnya.

“Hah, orang bercakap dengan dia, boleh termenung lagi,” kata Am menyedarkan lamunan Ariana. Gadis itu terkebil-kebil apabila disergah sebegitu.

“Ah, Am nak cakap apa? Tadi beria-ia benar nak cakap benda yang penting sangat tu?” Tanya Ariana kemudian. Cuba menutup malu. Dia sebenarnya masih kecewa kerana rancangannya gagal. Setelah Hasnita pergi, dia lega. Doanya, biarlah penyamaran temannya itu menjadi. Tetapi setengah jam kemudian, Hasnita muncul semula di depan rumahnya. Dia terdiam seribu bahasa apabila Am turut muncul dengan muka yang marah.

“Itulah, ingatkan Am tak tahu. Muka Ari dengan si Nita tu lain sangat, lain. Dah takde orang lain ke yang nak Ari kenakan?” Am seolah-olah tahu apa yang ada dalam fikirannya. Isu itu juga yang disentuh. Ariana jadi rimas. Malu pun ada. Mukanya dipaling kearah lain.

“Kenapa brooch yang Am bagi tu Ari bagi Nita pakai? Ari tau yak Am beli brooch tu untuk Ari pakai?” suara Am kedengaran mendatar. Tiada nada marah mahupun nada tenang di dalamnya.

“Alah, brooch tu dah jadi hakmilik Ari. So, sukati Ari lah nak kasi siapa pakai pun,” balas Ariana tidak berpuas hati. Memang dia meminjamkan brooch bermotif rama-rama itu untuk dipakai Nita supaya ‘penyamarannya’ lebih menjadi.

“Okey, Am nak tahu, siapa budak kecil yang selalu ada dengan Ari tu. Siapa dia? Takkan anak Ari kot?” Am menyuarakan pertanyaan yang sudah sekian lama dipendamnya dengan berhati-hati.

“Am ni kenapa? Kenapa nak tahu semua pasal Ari?” nada gadis itu seperti melenting. Am menarik nafas sekejap. Gadis ini terlalu ego. Dia perlukan masa dan kesabaran untuk menghadapinya.

“Am Cuma nak tahu, takde apa-apa. Tapi, kalau tu memang anak Ari, confirmlah Am makan asap, betul tak?” Am cuba memancing dengan nada bergurau.

“Err, taklah, tu bukan anak Ari,” hanya itu mampu dijawab Ariana. Dia bimbang, jika kisah kakaknya dibuka, hanyalah akan memalukan namanya. Sama seperti membuka pekung di dada.

“Habis, tu anak siapa?”

“Am tak payah tau lebih-lebih, dah puas hati kan sekarang?”

“Hmm. Nampaknya ada chance lagilah Am ni,” kata Am lega. Baginya, perkara yang diberitahu Ariana itu sudah cukup membuatkan benaknya yang sesak kembali lega. Bagaimanapun, dia menanam azam untuk meyiasat perkara itu lebih lanjut.

.

No comments: