Monday, December 1, 2008

BAB 19

Liyana mengurut- urut dadanya. Tak disangka dia terserempak juga dengan Joe. Memang benar kata orang, KL ni kecil. Mana-mana, bila-bila sahaja kita boleh terserempak dengan orang yang kita kenali.

Cepat-cepat dipalingkan mukanya ke arah lain. Harap-harap agar lelaki itu tidak terperasan dirinya. Tetapi semuanya sudah terlambat apabila Joe kembali bersuara.

“Liyana..Liyana. kau ingat kau boleh lari dari aku. Apa kau buat kat sini? Nak mengemis dengan orang, mintak duit? Itulah, dulu aku suruh kau duduk dengan aku, kau lari, kalau tak kau dah hidup mewah, tak merempat macam ni,” ujar Joe dengan nada mengejek. Jelik sungguh Liyana mendengar celoteh lelaki bangsat itu.

“Aku ada hak nak pergi mana, buat apa. Kau pun tak boleh nak halang,” balas Liyana dingin. Ikutkan hati, malas dia mahu bertekak lagi dengan lelaki ini. Tetapi Joe yang memulakannya.

“Eh, garangnya Liyana sekarang ni. Kenapa ni? Yana tau tak, Joe rindu sangat pada Yana sejak Yana pergi dulu. Yana tak rindukan Joe ke?” duga lelaki itu. Makinlah meluat jadinya Liyana. Mahu sahaja dia menyumbat mulut Joe yang lembut gigi dari lidah itu biar tidak dapat mulutnya menipu lagi. serasa ingin sahaja dia lari dari sini. Lari dari lelaki yang pernah mencemar maruahnya ini. Tetapi dia masih dapat bertahan.

“Dahlah Joe. Tak payah nak berpura-pura. Kau tahu tak, kau dah banyak menyusahkan aku? Lepas ni, kita dah tak ada apa-apa hubungan. Lagipun apa yang kau nak lagi dari aku? Semua kau dah dapat! Semua kau dah rampas!” ujar Liyana dengan suara yang meninggi sedikit. Tidak dipedulikannya orang ramai yang lalu-lalang. Tidak juga dia rasa malu. Scenario seperti itu memang sudah biasa kelihatan di sana-sini di kota metropolitan ini.

Joe diam. Nafasnya turun naik. Dia sungguh sekali tidak menduga Liyana akan bertindak dengannya senekad begini. Dia masih perlukan wanita itu. Harta ibu bapa Liyana yang melampuh itu kalau boleh mahu dikikisnya habis-habisan. Dan Liyana akan dijadikan perantaraan untuk mencapai hajatnya.

Tanpa disangka-sangka, Joe tiba-tiba merentap tangan Liyana kasar.

“Kau tak boleh lari dari aku, Yana. Tak boleh. Kita tak boleh habis macam ni aje,” bentak Joe kasar.

“Apa ni, Joe? Lepaskan aku, lepaskan aku atau aku...” Liyana meronta-ronta apabila Joe menekup mulutnya pula.

“Kenapa, kau nak jerit? Jeritlah!” herdik Joe lalu melepaskan tekupan pada mulut Liyana.

“Lepaskan aku! Lepaskan, aku kata! Joe! Lepaslah!” Liyana menjerit-jerit. Tetapi jeritannya langsung tidak mendapat perhatian orang ramai. Joe tersenyum puas. Kau tak dapat lari dari aku, Yana!

Bas yang ditunggu Liyana tiba akhirnya. Liyana ingin menuju ke arahnya, tetapi tangan Joe lebih pantas mengeheretnya pergi dari stesen bas itu.

Liyana tiba di rumah sewa Joe lima belas minit berikutnya. Berkali-kali dia meronta untuk melepaskan diri, tetapi tangan Joe yang sasa itu seperti menggari segala pergerakannya. Joe yang memandu kereta Waja yang diubahsuai canggih itu hanya menunjukkan wajah bengis sedari tadi. Liyana akhirnya tidak berani melawan lagi. Dia menikus sahaja sepanjang perjalanan.

Bukan sekali dua Liyana menjejakkan kaki ke rumah sewa Joe ini bahkan sudah berkali-kali. Dia maklum benar akan keadaan rumah Joe yang berselerak dan tidak terurus. Lelaki itu memang biasa hidup dalam keadaan yang semak begitu, sesuatu yang sudah jelak pada pandangan Liyana.

Joe mungunci pintu rumah di belakangnya lalu terus menuju ke biliknya. Liyana sudah mula tidak sedap hati.

“Joe, tak payahlah kunci pintu tu. Kau ni suka buat aku kecut perut,” ujar Liyana, matanya meliar ke sekeliling rumah Joe. Jiran-jirannya semua senyap, mungkin sudah lama diulit mimpi malam-malam begini.

Joe hanya mengangkat bahunya selamba. Lebih-lebih lagi Liyana rasa seram. Lelaki itu berperangai agak pelik. Diam sahaja dari tadi.

Liyana terdengar bunyi air mencurah-curah disimbah. Ah, syukurlah, dia sedang mandi, bisik hatinya. Dia mundar-mandir di ruang tamu sederhana besar itu. Kebosanan, dia mencapai remote controller lalu memasang televisyen. Dia hairan, ke mana rakan serumah Joe pergi? Setahu dia, Joe tinggal bersama seorang lagi teman di rumah sewanya. Tetapi malam ini, kelihatan seperti mereka berdua sahaja yang ada.

Di sudut ruang tamu itu, Liyana terpandang beberapa botol arak yang sudah habis diminum bersepah. Dia menggeleng-geleng kepala. Joe masih minum air syaitan itu. Dia menumpukan kembali perhatiannya di kaca televisyen. Bosan. Dia menukar channel. Entah berapa kali begitu. Sedar tidak sedar, dia hamper terlelap akibat keletihan.

Bunyi tapak kaki Joe menyedarkan dia daripada lena yang baru hendak mengulit. Dia terbangun dan menegakkan badannya. Joe yang hanya bertuala menuju ke arahnya. Renungan matanya sukar dimengertikan. Semuanya itu sudah menimbulkan tanggapan yang bukan-bukan dalam minda Liyana. Dia cuba berlagak tenang.

“Eh, Joe. Kau dah habis mandi? Dah lewat malam ni, aku nak balik dulu,” kata Liyana seraya mengangkat punggungnya dari sofa.

“Balik, kau nak balik mana? Rumah kau?” Tanya Joe pula. Suaranya berbaur sinis. Liyana benar-benar takut kali ini. Dia sudah tahu niat sebenar Joe. Joe ketawa pula. Terbahak-bahak. Liyana makin cuak. Perlahan-lahan dia menjauhkan diri dari Joe.

Joe semakin menghampiri Liyana. Tangannya mula menjalar ke tubuh Liyana. Gadis itu cuba menepis tetapi usahanya tidak membuahkan hasil. Lengan bajunya pula koyak direntap lelaki berhidung belang itu. “Yana, rumah kau kat sini. Tempat kau kat sini, dengan aku,” bisik Joe perlahan. Tetapi Liyana yang geli-geleman berusaha menolak kuat tubuh lelaki itu.

“Joe! Lepaskan aku! Tak cukup ke apa yang kau dah buat pada aku sebelum ni? Tak cukup ke! Kau memang jahat, Joe. Kau memang tak guna!” caci-maki terbit akhirnya dari mulut Liyana. Dengan kemarahan yang amat sangat, tubuh lelaki itu berjaya direnggangkannya. Tetapi Joe dengan pantas menarik tangannya semula.

“Diam! Sejak bila kau jadi macam ni? Nak jadi alim konon! Macam kau tu baik sangat. Hei, pompuan, sedarlah sikit, kau tu dah takde apa-apa lagi. Kalau kau lari dari aku, lelaki mana nak terima kau? Lelaki mana nak terima perempuan murah macam kau ni?” balas Joe pula.

‘Pangg!’

Dek kemarahan yang amat sangat, satu tamparan kuat dari Liyana singgah di pipi kiri Joe. Lelaki itu mengaduh kesakitan sambil meraba pipinya yang jelas kemerahan. Liyana mengambil peluang itu untuk melepaskan diri. Dia berlari ke arah pintu, tetapi malangnya ia terkunci. Dalam kegelabahan, dia cuba mencari jalan lain. Dari ekor matanya dia ternampak pintu belakang yang renggang. Sewaktu dia cuba berlari ke belakang, Joe sudah bangun. Dan sewaktu Liyana hampir tiba ke pintu belakang itu, tangannya direntap dari belakang. Liyana meronta-ronta apabila Joe mengejapkan pegangan tangannya.

Kedua-dua tangan terbelenggu, Liyana menggunakan kaki pula. Satu hayunan kakinya singgah tepat ke dada bidang Joe. Joe mengaduh kesakitan lagi tetapi tangannya sempat mencapai satu botol arak yang sudah kosong. Liyana hanya mampu menahan nafas apabila Joe menghampirinya dengan botol kaca itu.

Pangg!

Beberapa saat selepas kepalanya dihentam dengan botol itu, Liyana merasakan satu kesakitan yang tidak terperi. Dia tidak dapat menahannya. Akhirnya, pandangannya kabur lalu segalanya terus menjadi gelap.

Joe tergamam. Melihat dahi Liyana yang berdarah tanpa henti, dia cemas. Jantungnya berdegup kencang seperti hendak meletup. Buat seketika dia bingung dengan tindakannya. Apa aku dah buat ni? Perlahan-lahan dan dengan penuh berhati-hati dia menyentuh dahi Liyana yang berdarah itu.

Joe hamper terjerit. Seperti hendak pitam apabila dia tersentuh dahi itu. Ianya berlubang di tengah-tengah. Itulah punca darah yang tidak henti-henti mengalir sejak tadi. Lalu dia merasa nadi gadis itu. Masih ada meskipun degupannya amat perlahan. Joe cepat-cepat membuat keputusan. Dia harus pergi dari sini dengan segera. Bagaimana nanti kalau orang menjumpainya besama Liyana yang tidak sedarkan diri ini? Ah, pasti keadaan akan jadi lebih rumit nanti.

Tiba-tiba pendengaran Joe menangkap bunyi enjin kereta. Tentu kawannya Zarif yang pulang. Aku harus cepat! Teriak hati kecilnya.Dengan pantas dia menyusup melalui pintu belakang. Tetapi semua sudah terlambat. Dia terserempak dengan Zarif yang menuju ke belakang rumah. Mungkin temannya itu sudah mencuba masuk melalui pintu depan tetapi berkunci lalu menuju kea rah pintu belakang pula.

“Eh, Joe, kenapa kau tak bukak pintu depan tadi? Kenapa kau kunci?” Tanya Zarif hairan. Lebih-lebih lagi apabila melihat tingkah Joe yang seakan kelam-kabut bagai mengejar sesuatu.

“Err, tak ada apa-apa. Aku nak keluar kejap.” Jawab Joe terketar-ketar. Sungguh dia tidak menyangka Zarif akan pulang malam ini. Selalunya temannya itu hanya akan pulang apabila jam mencecah angka satu atau dua pagi.

“Oh, nak keluar. Aku balik awal hari ni, boringlah kat club,” kata Zarif. Spontan matanya menangkap sesuatu. “Eh, Joe, kenapa tangan kau berdarah tu?” tanyanya. Di sebalik lampu garaj yang samar, dia masih dapat melihat kesan darah pada tangan Joe.

Joe menggeleng. “ Tak ada apa-apa.” Jawabnya.

“Luka besar macam tu kau kata tak ada apa-apa?”

“Betul, sikit aje, aku terjatuh tadi,” kata Joe pantas. “ Okeylah, aku nak keluar dulu,” sambungnya lalu cepat-cepat menuju kea rah keretanya. Seminit kemudian keretanya terus menyusup pergi.

Zarif mennggeleng-geleng kepalanya melihat perlakuan Joe.

“Kenapa mamat tu? Selalunya cool aje, duduk dalam rumah. Ini tiba-tiba nak keluar pulak, kelam-kabut pulak tu,” omelnya sendirian.

Zarif melangkah masuk melalui pintu belakang. Hidungnya kembang-kempis. Dia terhidu sesuatu yang busuk, hanyir seperti darah. Sedang dia cuba memeriksa punca bau hanyir itu, kakinya terpijak sesuatu. Apabila dia melihat ke bawah, dia terkejut besar. Wajah gadis yang tidak sedarkan diri itu biasa dilihatnya. Meski tidak mengenalinya, tetapi diperhatikan Joe sering membawa gadis itu ke rumah.

Dia teringat sesuatu. Dahi gadis itu berdarah. Tangan Joe pun berdarah. Kebetulankah ini? Tetapi dia sudah tiada masa memikirkan semua itu. Apa yang penting gadis ini perlu diselamatkannya segera. Nadi yang masih ada melegakannya sedikit. Dengan berhati-hati diangkatnya tubuh gadis itu lalu dibaringkan atas tempat duduk belakang keretanya.

Sambil memandu keretanya meredah kegelapan malam, tidak putus-putus Zarif berdoa agar gadis itu selamat sehingga dia tiba di hospital. Siapapun gadis itu, dia tidak kisah. Dia hanya mahu selamatkan gadis malang itu. Dia juga percaya yang gadis itu dianiayai, kemungkinan besar, rakan baiknya Joe!

Liyana perlahan-lahan membuka matanya. Dahinya terasa amat sakit berdenyut-denyut. Dalam kesamaran pandangannya dia terlihat satu wajah dengan raut yang amat bimbang di hadapannya.

“Doktor, tolong selamatkan dia, walau apa cara sekalipun!” suara lelaki yang cemas itu menerjah cuping telinganya.

“Bertenang, encik. Lukanya tidak dalam, Cuma perlu dijahit sahaja,”jelas doktor cuba menenangkan lelaki itu.

Ketika doktor menyuntikkan bius anaestia, matanya terasa amat berat. Akhirnya kelopak mata itu terpejam rapat kembali.

Zarif terangguk-angguk mendengar penjelasan doktor. Menurut doktor luka Liyana akan sembuh dalam masa tiga hingga empat hari, bergantung kepada daya imunisasinya. Zarif lega. Hampir sahaja dia berfikir gadis itu tidak dapat diselamatkan. Melihatkan lukanya waktu dia menyelamatkannya dahulu, Zarif sama sekali tidak menyangka gadis itu akan sembuh tanpa sebarang komplikasi teruk.

“Begini, Encik Zarif. Ada tak encik kenal dengan sesiapa ahli keluarga Cik Liyana?” Tanya doktor.

Zarif menggeleng. “Tak ada, doktor, saya pun tak kenal gadis ini secara rapat. Saya cuma kenal dia sebagai teman wanita kawan baik saya. Itu sahaja.”

“Tak apalah, Encik Zarif. Saya cuma perlu berjumpa ahli keluarganya untuk mengesahkan satu maklumat penting Cik Liyana.”

Zarif tidak bertanya lebih lanjut. Dia cuma terfikir tentang Joe. Sejak semalam, sudah berkali-kali dihubungi rakannya itu tetapi langsung tidak berjawab. Handphonenya ditutup sepanjang masa. Zafir mengeluh. Bagaimana agaknya keadaan rakannya itu?

Tangan Liyana bergerak-gerak. Dia mulai sedar. Kesakitan yang dirasakan di dahinya sudah berkurangan. Lelaki yang tidak dikenalinya sedang tersenyum ke arahnya. Dia langsung tidak mengenali lelaki itu. Pada fikirannya, lelaki itu yang membawanya ke sini.

“Awak dah sedar?” Tanya lelaki itu.

Liyana cuba menjawab tetapi tekaknya terasa amat kering. Sehingga hendak meneguk air liurnya sendiri pun terasa perit.
“Haus, saya nak air,” pintanya dengan suara yang lemah. Lelaki itu segera bangun lalu menuangkan air untuknya. Disuakan gelas itu kepada Liyana. Sekali teguk, habis semua air di dalam gelas itu. Lelaki itu ketawa tiba-tiba.

“Kenapa awak ketawa?” soal Liyana tidak senang. Dia sedar keadaan dirinya yang tidak terurus, rambut kusut masai. Agaknya itu yang menggelikan hati pemuda itu.

“Awak minum air sekali teguk dah habis segelas. Macam unta,” jawab pemuda itu sambil menghabiskan tawanya yang bersisa.

Berubah air muka Liyana. Sakit hatinya dengan tutur pemuda itu. Dah haus, aku sebat jelah segelas! Gerutu hatinya.

“Awak marah? Sorry,” kata lelaki itu tak semena-mena. Mukanya serius kembali. Liyana hairan dengan pemuda yang tidak dikenalinya ini. cepat benar tingkah lakunya berubah.

“Taka apa, memang saya ni gelojoh,” seloroh Liyana pula.

“Emm,awak ni siapa? Macam mana awak boleh ada kat sini?” soal Liyana.

“Oh, terlupa pulak saya nak perkenalkan diri. Yalah, dah jumpa gadis secantik awak ni, lupa segala-galanya,” sempat lagi pemuda itu berjenaka membuatkan Liyana tertawa senang, “Saya Zarif. Zarif Irwan. Saya kawan serumah Joe.” Lelaki itu menghulurkan tangannya tetapi dibiarkan Liyana tidak bersambut.

“Zarif, saya Liyana Jasmin. Panggil Liyana je,”kata Liyana. Sedikit sebanyak kelibat Joe dilupakannya. Hatinya terhibur dengan gelagat Zarif.

“Zarif, saya tak tau macam mana nak berterima kasih pada awak. Kalau awak tak ada masa tu, saya tak tau apa akan jadi pada saya ni,” kata Liyana perlahan. Dia amat terhutang budi pada pemuda itu.

“Tak payah berterima kasih. Saya pun ikhlas nak tolong awak.”

Liyana tersenyum senang. Zarif tak seperti lelaki lain. Tidak seperti Joe. Meskipun dia teman serumah Joe, perangainya tidak seperti Joe yang terlalu bersosial dan kaki perempuan. Dalam diam dia mula meminati Zarif meskipun perkenalan mereka masih singkat. Entah kenapa dia tidak terperasan akan Zarif sewaktu dia datang melepak di rumah Joe dahulu.

“Liyana, awak tidurlah dulu. Rehat banyak-banyak. Kata doktor awak dah boleh keluar dalam masa tiga empat hari lagi,” pinta Zarif lembut. Dia kemudiannya bangun lalu keluar dari bilik itu. Liyana menemani pemergian lelaki itu dengan ekor matanya hingga hilang dari pandangan.

.

No comments: